Allen Xavier
KOTA KINABALU: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah menyatakan hasrat untuk bertanding lebih sepuluh kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Datuk Chan Foong Hin berkata itu berikutan konsensus yang dicapai di antara pemimpin parti negeri dan nasional ketika pemukiman parti pada bulan lalu.
Chan berkata, mereka juga ingin pertahankan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipegang parti, termasuk dua kerusi DUN yang telah berpindah ke Parti Warisan (Warisan).
Empat kerusi DUN tersebut adalah Kapayan (Jannie Lasimbang), Tanjong Papat (Datuk Frankie Poon Ming Fung), Likas (Datuk Tan Lee Fatt) dan Luyang (Datuk Phoong Jin Zhe).
Manakala, dua Ahli DUN DAP yang telah berpindah ke Warisan adalah Calvin Chong (Elopura) dan Justin Wong (Sri Tanjong).
“Kita berharap dapat bertanding lebih sepuluh kerusi dan menang sekurang kurangnya lapan, termasuk mempertahan enam kerusi yang sedia ada.
“Namun begitu, masih ada ruang untuk perbincangan. Belum ada kata putus setakat ini,” Chan memberitahu pemberita ketika ditemui di Festival Koko Antarabangsa Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah sini, hari ini.
DAP merupakan salah satu daripada empat parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) Sabah, di mana parti yang lain adalah Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko).
