Oleh: Sumayyah Rihanna
LAHAD DATU: Ubat-ubatan tidak berdaftar dengan nilai RM139 ribu dirampas pihak polis dalam satu serbuan di sebuah premis penghantaran milik salah sebuah syarikat penghantaran barang di Bandar Sri Perdana, di sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superitendan Jimmy Panyau berkata, serbuan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Lahad Datu hasil maklumat awam.
“Ubat-ubatan yang kita rampas ini disyaki tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Seorang lelaki tempatan berusia 66 tahun juga telah ditahan di lokasi kejadian dan pihak polis turut merampas pelbagai produk kesihatan yang disyaki tidak mempunyai kelulusan KKM, antaranya 60 botol produk ‘Stem Cell Activin’, 20 botol ‘Cell Essence Energy Peptide’, 120 biji pil ‘Red Cialis Essence’, serta 120 biji pil tidak berlabel,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan komitmen berterusan pihak polis dalam membanteras penyalahgunaan serta pengedaran produk kesihatan tidak sah yang boleh mengancam nyawa pengguna.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membeli atau mengedar sebarang produk kesihatan tanpa kelulusan KKM kerana ia bukan sahaja melanggar undang-undang, malah berisiko terhadap kesihatan dan keselamatan diri,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan peruntukan berkaitan.
