Sabah perlu sebuah perjalanan politik yang stabil, dengan kerjasama: Salleh

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak menzahirkan pandangan beliau berkenaan berkenaan keperluan untuk kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat diwujudkan, khasnya untuk masa depan Sabah.

“Dalam sistem persekutuan seperti Malaysia, kerjasama antara kerajaan negeri dan pusat bukan sekadar pilihan, tetapi ia satu keperluan. Untuk masa depan, Sabah memerlukan kepimpinan yang berkesan, wawasan yang jelas, dan pasukan yang kuat yang mampu bekerjasama dengan kerajaan pusat demi kestabilan jangka panjang dan kemajuan bermakna untuk rakyat.

“Apabila kita bercakap tentang pembangunan Sabah, perbincangan sering tertumpu kepada persoalan sama ada parti tempatan atau parti nasional lebih baik. Namun mungkin itu bukan isu sebenar.

“Apa yang benar-benar penting ialah kepimpinan yang berkesan, kestabilan politik, dan keupayaan untuk bekerjasama, khususnya antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sebuah hantaran di laman sosial media Fcaebook beliau, di sini, hari ini.

Menurut Salleh, sejak pembentukan Malaysia pada tahun 1963, Kerajaan Sabah hampir sentiasa sehaluan dengan Kerajaan Pusat, sama ada melalui gabungan nasional seperti Perikatan dan Barisan Nasional (BN), atau melalui kerjasama politik secara langsung.

“USNO (1963–1975) dan BERJAYA (1976–1985) ialah parti tempatan, tetapi merupakan sebahagian daripada Perikatan dan kemudian BN.

“Selain itu, PBS mentadbir Sabah dari 1985 hingga 1994.

“Pada tahun 1990, PBS keluar daripada BN dan bersama Gagasan Rakyat, satu gabungan pembangkang ketika itu dan ini menandakan tempoh yang jarang berlaku di mana Sabah tidak sehaluan dengan Kerajaan Pusat, namun ia singkat dan dalam suasana politik yang tegang,” katanya lagi.

Tambah Salleh lagi, selepas PRN 1994, BN kembali menerajui Kerajaan Negeri dan UMNO Sabah ditubuhkan. 

“Dari tahun itu hingga 2018, Sabah ditadbir oleh BN, dengan banyak projek pembangunan besar dilaksanakan melalui kerjasama rapat dengan Kerajaan Pusat.

“Pada tahun 2018, Warisan membentuk Kerajaan Negeri dengan sokongan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah di peringkat pusat, dan walaupun Warisan adalah parti tempatan, ia bekerjasama rapat dengan pimpinan Persekutuan ketika itu yang diketuai Tun Dr. Mahathir.

“Dalam PRN 2020 pula, Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang terdiri daripada Bersatu, PBS, STAR dan SAPP, memenangi majoriti dan BN bukan sebahagian daripada GRS atau Perikatan Nasional (PN) tetapi bekerjasama dengan GRS untuk membentuk Kerajaan Negeri.

“Ini sekali lagi menunjukkan kesediaan untuk menjajarkan diri dengan Kerajaan Pusat demi kestabilan,” tambahnya lagi.

Salleh turut menjelaskan bahawa corak itu turut dilihat di negeri Sarawak.

“Corak yang sama dapat dilihat di Sarawak. Parti-parti yang kini membentuk GPS dari PBB, PRS, PDP dan SUPP, dahulunya merupakan komponen BN sebelum keluar selepas PRU 2018.

“Jika dilihat secara menyeluruh, Sabah hanya berada di luar penjajaran dengan Kerajaan Pusat dalam tempoh yang singkat, iaitu dari 1990 hingga 1994.

“Sepanjang sejarahnya, kemajuan negeri ini banyak bergantung kepada kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan,” ujar beliau lagi.

 

Tinggalkan komen