Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Pengerusi Majlis Penasihat Wanita (MPWS), Datuk Rosmawati Lasuki memberitahu bahawa barisan jawatankuasa MPWS kini fokus untuk memperkasa wanita dalam tiga aspek utama iaitu kepimpinan, ekonomi dan pendidikan.
“Untuk barisan kepimpinan yang baru ini, kita berpandukan kepada hala tuju Kerajaan Negeri, iaitu kepimpinan, ekonomi dan pendidikan.
“Untuk skop ini, kepimpinan yang dimaksudkan ialah untuk membantu mengangkat potensi wanita dalam aspek kepimpinan, termasuk pendidikan serta meluaskan ekonomi wanita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sebuah sidang media semasa Majlis Minum Petang Jabatan Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) dan Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, petang tadi.
Menurut Rosmawati, barisan ahli jawatankuasa baru itu juga komited untuk merancang serta menyampaikan pelan-pelan yang bermanfaat yang mampu dicapai untuk kaum wanita.
“Sekarang, kita dalam proses untuk lihat sejauh mana dan apa yang boleh kita sampaikan untuk masa ini sampai tahun 2026, ini yang kami mesti fokus sekarang.
“Tambahan kepada ini, hal lain yang menjadi perhatian juga adalah kesediaan wanita kerana dalam JHEWA sendiri, kita sebenarnya sudah mengenalpasti dan ada beberapa program yang kita sudah ada dan mungkin boleh dipertimbangkan untuk perhatian pihak Kerajaan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Rosmawati juga berkongsi bahawa usaha untuk menyampaikan input tambahan kepada wanita termasuk memberikan kursus, pendedahan dan membina personaliti calon pemimpin wanita turut dilakukan.
“Dalam satu program daripada MPWS sebelum ini, kita sasarkan kepada pemimpin akar umbi selain daripada penjawat awam, iaitu menerusi Akademi Kepimpinan Wanita.
“Saya rasa kita ada banyak kebolehan dan kita boleh bantu perempuan sesama kita dengan jujur dan ikhlas, dari segi membantu senang cerita kita kena ikhlas dan dengan ini, kita pasti akan dapat mencapai matlamat sebenar kita untuk membantu,” jelasnya lagi.
