Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Pengerusi Lembaga Koko (LKM), Datuk Matbali Musah memberitahu bahawa LKM berjaya memperoleh potensi urus niaga sebanyak RM2.27 juta hasil kerjasama dengan Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) daripada Program Sumber Antarabangsa Maya (INSP).
“Ini adalah bukti bahawa industri koko negara kita sentiasa berkembang dari semasa ke semasa dan saya yakin, dengan adanya penganjuran Pameran Koko Antarabangsa Malaysia (MICF) 2025 di Sabah ini, kita akan berpotensi untuk mengembangkan lagi industri koko kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa hadir merasmikan Pameran MICF 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) petang tadi.
Menurut beliau, pameran itu adalah antara acara utama yang menjadi imej dan meraikan peranan Malaysia, yang semakin berkembang dalam industri koko global.
“Pameran yang berlangsung ini bertujuan mewujudkan ruang untuk pengunjung kita menikmati produk koko dan coklat berkualiti tinggi.
“Selain itu, kita juga mengeratkan hubungan dengan pemimpin industri bagi kerjasama pada masa akan datang,” katanya.
Sebanyak 160 gerai pameran daripada peserta yang merupakan pempamer tempatan, pengeluar global, pengusaha makanan dan penyedia teknologi turut sama menyertai sesi pameran.
Ketua Pengarah LKM, Datuk Dr. Ramle Kasin semasa berucap turut berkongsi bahawa pengisian aktiviti di MICF 2025 adalah untuk memberi pendedahan kepada pengunjung berkaitan industri koko.
“Kita ada Hab Ilmu Koko yang mana di situ, para pengunjung boleh melihat dan belajar berkenaan industri koko dari pelbagai aspek dan kita ada sesi bual bicara perniagaan,” katanya lagi.
Turut berlangsung ialah sesi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi jalinan kerjasama strategik antara Lembaga Koko Malaysia (LKM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diwujudkan bagi memberi ruang kepada pemantapan pelbagai aspek kepakaran dan kolaborasi.
“MoU ini akan berkuat kuasa selama lima tahun dari tarikh ditandatangani dan boleh dilanjutkan atas persetujuan bersama.
“Antara bidang yang dipersetujui untuk MoU ini adalah untuk pemantapan kolaborasi antara staf, pelajar dan industri dari segi pengajaran, pembelajaran, latihan dan penyelidikan.
“Selain itu, ini juga memberi pendedahan kepada pelajar berkenaan situasi sebenar, perkongsian kepakaran teknologi, penerapan kemahiran insaniah dan kerjasama dalam pengkomersialan produk-produk inovasi pelajar, serta bidang-bidang lain yang dipersetujui dari semasa ke semasa,” ujar beliau lagi.
