KOTA KINABALU: Lebih 1,000 peserta mengikuti larian santai sejauh lima kilometer yang berlangsung sempena Malaysian International Cocoa Fair (MICF) 2025, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pagi tadi.
Aktiviti yang dianjurkan oleh Kelab Kebajikan, Sukan dan Rekreasi (KKSR), Lembaga Koko Malaysia (LKM) dengan kerjasama KSRUN Athletics Club dengan tema Wellness Meets Cocoa in Every Stride itu diadakan dengan tujuan untuk menggalakkan gaya hidup sihat sambil meraikan keunikan koko sebagai produk warisan Malaysia.
“Acara ini bukan sekadar larian biasa, tetapi ia adalah satu gerakan untuk menggalakkan kesihatan, memperkenal industri koko dan memupuk semangat komuniti, serta merapatkan hubungan masyarakat umum dengan MICF 2025,” kata Presiden Kelab Kebajikan Sukan dan Rekreasi Lembaga Koko Malaysia (KKSR) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Choco Rush, Abdul Karim Che Hamid.
Setiap peserta menerima menerima baju khas Choco Rush, pingat penamat, serta jamuan ringan termasuk sajian berasaskan koko dan Milo.
Terdahulu, turut berlangsung sesi zumba bersama para peserta.
Selain itu, yang menghabiskan larian turut disajikan dengan KitKat Dark Borneo, produk istimewa berasaskan koko tempatan.
Hadir menyermpurnakan acara pelepasan larian ialah Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin dan pengurusan tertinggi LKM.
Acara itu turut melibatkan kerjasama Milo, KitKat, Life Water Industries Sdn. Bhd., Overseas Supply Trading (OST), Tanjung Aru Development Berhad (TAED), Koperasi Kluster Koko Sabah Berhad (KKKSB), Koperasi Kluster Koko Semenanjung Berhad (KOPSEM), dan Koperasi Kluster Koko Sarawak Berhad (3KQ).
