Oleh: Sumayyah Rihanna
TAWAU: Seorang lelaki berusia 37 tahun ditahan polis dalam satu operasi bersepadu Op Cantas Mega bagi membantu siasatan kes mencederakan bekas isterinya dalam kejadian yang berlaku di Balung, Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 8.00 malam apabila suspek datang ke rumah mangsa sebelum berlaku pertengkaran.
“Mangsa meminta suspek meninggalkan rumah kerana mereka sudah tidak mempunyai hubungan suami isteri,namun suspek bertindak ganas dengan menendang perut dan menumbuk kepala mangsa hingga menyebabkan kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Hasil maklumat awam dan tindakan pantas Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, suspek berjaya diberkas dan dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 323 dan 326A Kanun Keseksaan.
Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman dua kali ganda dari hukuman maksimum yang ditetapkan bagi kesalahan asal.
Pihak polis turut menegaskan komitmen mereka dalam membanteras jenayah keganasan rumah tangga dan menyeru orang ramai agar tampil membuat laporan sekiranya berlaku sebarang bentuk penderaan atau keganasan.
Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan dan mencegah kejadian seumpama ini daripada terus berulang.
