Dua lelaki pecah masuk rumah berjaya ditahan polis

Oleh: Sumayyah Rihanna

TAWAU: Dua lelaki tempatan diberkas pihak polis selepas disyaki terlibat dalam kes pecah rumah yang berlaku di Taman Berkeley, Jalan Apas, pada 12 April lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, mangsa kejadian yang berusia dalam lingkungan 40-an menyedari rumahnya telah dipecah masuk sekitar pukul 6.30 pagi. 

“Antara barangan yang hilang termasuk sebuah televisyen, dua batang raket badminton, seutas jam tangan pintar, wang tunai, telefon bimbit serta MyKad milik individu lain, dengan jumlah kerugian dianggarkan hampir RM4,500.

“Suspek pertama, seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun, ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau pada pukul 5.00 petang pada 19 Mei lalu, hasil soal siasat membawa kepada penemuan dua batang raket badminton yang dipercayai milik mangsa, disorok di sebuah bilik sewa sekitar bandar Tawau,” katanya dalam kenyataan semalam.

Tangkapan kedua pula dibuat semalam sekitar jam 11.30 pagi, melibatkan lelaki tempatan berusia 34 tahun di hadapan sebuah bengkel di Jalan Ranggu.

“Hasil penahanan suspek kedua, polis berjaya merampas semula sebuah televisyen dan seutas jam tangan pintar jenama Apple I-Watch yang dipercayai turut dicuri dalam kejadian sama,” ujarnya lagi.

Menurut Jasmin, semakan rekod mendapati kedua-dua suspek mempunyai sejarah jenayah lampau melibatkan kes penipuan dan dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan barangan curi yang masih belum ditemui serta kemungkinan penglibatan suspek lain sedang giat dijalankan.

Tinggalkan komen