Berlapang dada untuk bangunkan Sabah, tanpa ketepikan hak rakyat Sabah: PGRS Likas

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Likas, Datuk Mohammad Bahrin Abd Karim memberitahu bahawa semua pihak harus berlapang dada untuk bekerjasama dengan parti nasional bagi membangunkan Sabah.

“Seperti yang Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor cakap, kita tidak ada halangan untuk bekerjasama dengan parti luar, tapi kita kena duduk untuk satu permuafakatan.

“Dan hal ini, sehingga hari ini belum ada keputusan dibuat, masih sukar untuk buat keputusan.

“Kita kena berlapang dada untuk bekerjasama dengan parti nasional kerana ini adalah untuk bangunkan Sabah tanpa kita membelakangkan hak Sabah,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Tahunan Gagasan Rakyat Sabah Bahagian Likas 2025, di sini, hari ini.

Pagi tadi, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Azmin Ali memberitahu bahawa parti itu sudah mengenalpasti kerusi yang berpotensi untuk menang di Sabah dan rundingan dengan parti politik Sabah akan terus dipupuk bagi membina kekuatan dan persefahaman demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Sabah.

Menurut Mohammad Bahrin, usul yang nyatakan oleh Ketua Wanita Gagasan Rakyat Bahagian Likas, Halizah Din berkenaan GRS bergerak secara solo untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 adalah usul yang dibuat berdasarkan penelitian terhadap trend di laman media sosial.

“Usul ini adalah selepas kita tengok suara-suara akar umbi di laman media sosial yang menyatakan hasrat mereka untuk melihat GRS bertanding secara solo,” katanya lagi.

Gagasan Rakyat Likas mempunyai 22 cawangan dengan kekuatan ahli 2,500 ahli.

Kata Mohammad Bahrin lagi, Bahagian Likas fokus kepada usaha untuk mempunyai ahli yang berkualiti dan mampu menyumbang kepada parti.

Semasa persidangan itu, seramai 500 ahli hadir memeriahkan acara.

“Kita tengok daripada semua ahli yang hadir hari ini, ketara nampak kaum lelaki mendominasi dan boleh saya katakan kebanyakannya muka baru, yang mana mereka adalah ahli baru.

“Ini fokus kita di Likas, kita mahu ahli yang berkualiti yang mampu menyumbang untuk parti,” jelasnya.

Mohammad Bahrin turut menjelaskan bahawa statistik pengundi bagi kawasan Likas adalah sekitar 19,200 dan daripada jumlah itu, sebanyak 13 ribu adalah pengundi berbangsa Cina.

“Di Likas, selebihnya dalam lima ribu lebih begitu, adalah pengundi Bumiputera atau Melayu, jadi logiknya jika parti DAP bertanding, maka kita akan sokonng parti itu kerana ia adalah parti daripada kerajaan,” jelasnya lagi.

Mohammad Bahrin turut berkongsi pandangan beliau berkenaan calon yang bertanding atas tiket parti bebas untuk PRN17 nanti.

“Saya rasa PRN17 ni, parti bebas akan memang banyak, kalau kita tengok trend semasa, dalam parti lokal pun berpecah, parti yang macam saya cakap tadi, individu itu mengatasi parti, jadi calon yang bekerja keras pasti akan popular daripada orang yang tidak bekerja.

“Di sosial media mereka nampak orang yang bekerja, bukan parti,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen