Oleh: Sumayyah Rihanna
LAHAD DATU: Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng menegaskan bahawa program kebajikan seperti Program Menyantuni Anak-anak Asnaf dan Warga Orang Kelainan Upaya (OKU) adalah manifestasi semangat kasih sayang dan keprihatinan masyarakat terhadap golongan yang memerlukan.
“Saya menyokong sepenuhnya komitmen dan keprihatinan pihak penganjur, NGO wanita dan Rumah Sinar Pelangi dalam usaha menyantuni anak-anak asnaf serta warga OKU,program ini bukan sahaja membawa sinar kebahagiaan, malah memperkukuh jaringan sokongan sosial yang amat diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap ketika merasmikan program anjuran Persatuan Kebajikan Wanita Lahad Datu di Rumah Sinar Pelangi, di sini, hari ini.
Flovia turut memuji peranan kerajaan yang menurutnya terus berusaha melaksanakan dasar inklusif dan memastikan tiada golongan yang terpinggir.
“Kita beruntung kerana berada di bawah naungan sebuah kerajaan yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat, ini bukti komitmen kita terhadap keadilan sosial dan kesejahteraan sejagat.
“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program yang amat bermakna ini,” katanya.
Program itu menyaksikan pelbagai aktiviti interaktif dan sumbangan kepada anak-anak istimewa, serta ruang interaksi mesra bersama ibu bapa dan penjaga.
Dalam pada itu, Flovia turut menyeru semua pihak untuk terus berganding bahu dalam usaha memperkasa usaha kebajikan demi masa depan yang lebih baik dan sejahtera.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Pegawai Daerah Lahad Datu Idzualdeen @ Benetty Mohd Dzul, Pengarah Jabatan Kebajikan Am Sabah Jais Jasri, serta barisan kepimpinan daerah dan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan.
