PPM gagalkan cubaan seludup rokok lebih RM149 ribu

Oleh: Sumayyah Rihanna

LAHAD DATU: 238 karton rokok jenama Astro Black Menthol dan 149 karton rokok jenama A Satu Mild Menthol berjaya dirampas dalam sebuah operasi yang dijalankan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah di kawasan bakau Kampung Puyut, di sini, baru-baru ini.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Nazri Ibrahim berkata, jumlah keseluruhan nilai rampasan itu ialah RM149,318.40.

“Rampasan ini adalah hasil maklumat awam dan risikan yang dilakukan oleh anggota kami, ia merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan PPM Wilayah 4 dalam memerangi kegiatan penyeludupan yang mengancam keselamatan dan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Kesemua barangan rampasan telah dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Lahad Datu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.

“Pihak berkuasa sedang giat mengesan individu yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan tersebut,” katanya lagi.

Nazri turut menegaskan bahawa PPM Wilayah 4 Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat kedaulatan dan keselamatan perairan negara.

“Kami menyeru masyarakat untuk terus menyalurkan maklumat agar tindakan segera dan berkesan dapat diambil,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen