Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan bahawa Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2025 bakal dilaksanakan pada 27 Mei 2025 sehingga 2 Jun 2025 dan 29 Mei 2025 sehingga 4 Jun 2025.
“Tempoh pelaksanaan skim tersebut ialah selama tujuh hari, iaitu pada hari kemuncak dan tiga hari sebelum serta tiga hari selepas kemuncak perayaan.
“Kita mengambil kira kepentingan kedua-dua pihak iaitu pengguna dan komuniti peniaga kerana kita mahu pengguna dapat menikmati barangan keperluan pada harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama,” kata Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali.
Jelasnya lagi, di bawah SHMMP Pesta Kaamatan 2025, kementerian telah mengenal pasti 10 jenis barangan berbanding lapan jenis barangan semasa pelaksanaan tahun lalu.
Bagi SHMMP Hari Gawai 2025 pula, sebanyak 11 jenis barangan telah disenaraikan berbanding lapan barangan semasa pelaksanaannya pada tahun 2024.
“Untuk Pesta Kaamatan, kita ada pertambahan dua jenis barangan iaitu bawang kuning besar import dan bawang merah besar import, manakala untuk Hari Gawai pula kita ada pertambahan tiga jenis barangan iaitu kelapa biji, kelapa parut dan santan.
“Kesemua jenis barang dan harga ini kita tentukan setelah kita berbincang bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta agensi di bawahnya, yang mana kita mengambil kira pendangan pemain industri,” katanya lagi.
Antara barang yang disenaraikan terlibat bagi SHMMP Pesta Kaamatan ialah babi hidup (harga maksimum di peringkat ladang sahaja), daging babi (daging dan lemak), daging babi (perut), daging kerbau import (India, tidak termasuk bahagian batang pinang), kepak ayam, cili kering keriting, bawang merah kecil (India), bawang putih (China), bawang kuning besar import dan bawang merah besar import.
Bagi Hari Gawai pula, barang yang disenaraikan terlibat dalam SHMMP ialah babi hidup (harga maksimum di peringkat ladang sahaja), daging babi (daging dan lemak), daging babi (perut), ayam tua hidup, kepak ayam, kubis bulat import (Indonesia dan China, tidak termasuk kubis Beijing), bawang putih (China), cili kering keriting, kelapa biji, kelapa parut dan santan.
Dalam pada itu, Armizan turut memberitahu bahawa penguat kuasa KPDN akan ditugaskan di lokasi-lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani, pasar tamu dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan.
“Pada masa yang sama, penguatkuasaan secara berhemah dilaksanakan dengan memberi pendidikan, nasihat dan amaran supaya para peniaga mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa dan mengamalkan perniagaan yang beretika.
“Kita harap, semua pihak dapat mematuhi harga-harga maksimum yang telah ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harga.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini, dan mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta 723, dan boleh dikenakan penalti,” katanya.
