Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menyifatkan tindakan seorang pemimpin tempatan dari Parti Warisan Sabah (Warisan) yang melemparkan tuduhan negatif berkenaan isu subsidi bahan gas petroleum cecair (LPG) kepada Kerajaan Negeri dan GRS adalah bermotifkan politik dan cubaan untuk mengelirukan rakyat.
“Kenyataan itu mengaitkan isu subsidi LPG dengan pemerintahan Kerajaan Negeri GRS- Pakatan Harapan (PH) Plus, tidak wajar.
“Ini bukan dalam bidang kuasa Kerajaan Negeri, jadi ketara betul ini kenyataan bermotifkan politik, dan tidak patut untuk beliau (Junz Wong) membuat kenyataan seumpama itu kerana ianya mencalarkan imej Kerajaan Persekutuan dengan fakta yang tidak tepat, mengelirukan rakyat.
“Boleh kalau dia mahu beri pandangan atau kongsi pendapat, tetapi biarlah sesuatu yang berfakta dan secara bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sebuah sesi sidang media di sini, hari ini.
Menurut Armizan, isu tersebut adalah terkait dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang telahpun berkuat kuasa sejak 15 Oktober 2021 di bawah pentadbiran kerajaan lalu.
“Pertama, perkara yang disentuh bukanlah satu dasar atau peraturan baharu di bawah Kerajaan Madani dan bukanlah pemotongan subsidi sebagaimana didakwa.
“Kedua, apa yang beliau sebut sebagai notis tersebut bukanlah satu dokumen kompaun kesalahan tetapi merupakan dokumen Kenyataan Pemeriksaan Premis yang merupakan dokumen standard yang akan diserahkan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) semasa membuat sebarang pemeriksaan rutin di mana-mana premis yang berkaitan. Ini termasuk pemeriksaan pematuhan semua perundangan di bawah bidang kuasa KPDN yang berkaitan seperti pemeriksaan tanda harga, alat timbang sukat dan semakan Permit Barang Kawalan.
*Ketiga, apa yang disentuh berkait LPG adalah merujuk kepada Peraturan yang diwartakan pada 2021 tersebut yang mengkehendaki mana-mana pihak yang menyimpan LPG di premis pada satu-satu masa melebihi kadar 42 kilogram (melebihi tiga tong LPG 14 kg) perlu untuk memohon Permit Barang Kawalan,” katanya lagi.
Selain itu, Armizan juga menegaskan bahawa tindakan Junz Wong memainkan sentimen beban kos dipindahkan kepada rakyat, tanpa menyebut bahawa subsidi LPG itu juga datangnya daripada duit rakyat sendiri iaitu dana awam termasuk duit pembayar cukai.
“Memang tidak wajar semua kos perniagaan termasuk perniagaan berskala besar ditanggung melalui duit rakyat dan mana-mana pihak yang tidak menyimpan atau menggunakan melebihi had berkenaan tidak tertakluk kepada keperluan Permit Barang Kawalan.
“Kalau perniagaan itu berskala besar, mohon permit untuk barang kawalan ini dan jika ada premis berskala besar yang dia tahu, menjalankan perniagaan dengan harga berpatutan, yang wajar kita bagi subsidi LPG, ajak saya, saya mahu tengok sendiri harga makanan di premis tersebut, rahmah atau tidak, wajar atau tidak, macam yang beliau cakap.
“Saya tidak fikir banyak kedai makan apatah lagi gerai makan atau gerai Ramly Burger yang beliau sebutkan perlu untuk menyimpan atau menggunakan tong LPG melebihi 42 kg pada satu-satu masa, melainkan premis perniagaan berskala besar.
Jelas Armizan lagi, subsidi LPG telah mencecah RM3.4 bilion pada tahun 2024 dan ia merupakan sejenis subsidi kepenggunaan, bukan subsidi perniagaan atau perdagangan.
“Saya juga ingin beritahu, bila penguat kuasa KPDN hadir ke premis untuk pemeriksaan, jika di dapati ada yang mempunyai lebih dari tiga tong LPG, kita akan nasihatkan untuk mereka buat permit.
“Kita kerajaan yang berhemah, kita setakat ini tidak ada tempoh masa lagi yang ditetapkan untuk mereka membuat permit selepas dinasihatkan, cuma kita akan terus membuat pemantauan secara konsisten.
“Kena ingat, duit kerajaan tidak jatuh dari langit, bila kita jadi pemimpin, kita kena jadi seorang pemimpin yang boleh berfikir dan belajar, bukan sekadar pandai berbelanja, kalau tidak, kita tidak dilihat sebagai seorang pemimpin yang berwibawa, jadi saya tidak perlukan Junz Wong untuk ingatkan saya pasal ini,” ujar beliau lagi.
