5,270 paket minyak masak subsidi dirampas

Oleh: Sumayyah Rihanna

SEMPORNA: Sebanyak 5,270 paket minyak masak subsidi satu kilogram dirampas selepas satu serbuan oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 22 Kunak dalam operasi bersepadu di Kampung Seri Melor, kelmarin.

Komander PGA Sabah, Datuk Abdul Rani Alias memberitahu, serbuan itu dibuat hasil risikan berkaitan kegiatan penyimpanan dan penjualan minyak masak bersubsidi tanpa kebenaran.

“Kita rampas 310 kotak minyak masak satu kilogram yang mengandungi 5,270 peket, dipercayai untuk dijual secara haram dan kali ini menerusi Ops Bersepadu Intra/Inter Agensi, Op Taring Bravo 2 yang turut melibatkan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Semporna,” katanya dalam sebuah kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut beliau lagi, hasil siasatan awal mendapati minyak masak itu dipercayai diperoleh daripada pembekal luar daerah, dan suspek dipercayai telah menjalankan aktiviti ini sejak awal tahun. 

“Selain rampasan minyak masak, pihak berkuasa turut menyita sebuah telefon bimbit serta satu set mangga dan kunci yang dipercayai ada kaitan dengan kegiatan berkenaan.

“Seorang lelaki tempatan turut ditahan selepas gagal menunjukkan dokumen sah pemilikan atau penyimpanan barang kawalan itu,” katanya.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM15,675 dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Tinggalkan komen