Oleh: Sumayyah Rihanna
SANDAKAN: Lima individu termasuk empat bekas pegawai bank ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM300 ribu daripada pemilik syarikat sebagai dorongan untuk meluluskan permohonan pinjaman kewangan dengan menggunakan dokumen sokongan palsu.
Kesemua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2022 hingga 2024 yang melibatkan kelulusan pinjaman pembiayaan bernilai kira-kira RM11.3 juta daripada 39 pemohon.
“Kesemua suspek juga dipercayai menerima wang rasuah secara tunai dan juga melalui transaksi pindahan ke akaun bank masing-masing,” kata Jurucakap SPRM dalam kenyataannya di sini, hari ini.
Majistret I, Siti Aisyah Umar Baki mengeluarkan perintah reman kepada semua suspek lelaki berusia dalam lingkungan umur 30 hingga 50-an, selama tujuh hari sehingga 28 Mei 2025.
“Perintah reman dikeluarkan selepas permohonan dibuat pihak SPRM di Mahkamah Sesyen Sandakan,” katanya.
Kesemua sumber ditahan antara pukul 2.00 petang hingga 7.00 malam semasa hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Sandakan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Karunanithy Y. Subbiah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a(A) Akta SPRM 2009.
