Oleh: Sumayyah Rihanna
TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu dalam satu operasi di kawasan Kampung Batu 2, Jalan Apas, di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira pukul 12.10 tengah hari, hasil maklumat yang diterima orang awam menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).
“Hasil pemeriksaan ke atas suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan menemui satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu seberat 0.18 gram.
“Ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Amfetamin dan Metafetamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan penahanan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, Jasmin berkata penggunaan aplikasi VSP terbukti berkesan dalam membantu polis memperoleh maklumat awal berhubung kegiatan jenayah di lapangan.
“Maklumat yang disalurkan secara pantas oleh orang awam membolehkan tindakan segera diambil oleh pihak polis dan tangkapan dilakukan dengan tepat,” ujar beliau lagi.
