Oleh: Ridzal Abdullah
TAWAU: Seorang lelaki berusia 39 tahun ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Tawau kerana disyaki terlibat dalam jenayah peras ugut secara serius menerusi panggilan telefon kepada mangsa.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek yang menuduhnya mengganggu perniagaan.
“Suspek kemudian mengugut untuk memancung kepala mangsa, menyebabkan mangsa ketakutan dan bertindak memasukkan wang berjumlah RM3,000 ke dalam sebuah akaun milik sebuah syarikat perniagaan.
“Tidak lama selepas itu, suspek sekali lagi menghubungi mangsa dan meminta tambahan RM1,500 kononnya untuk menyelesaikan isu tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa hadir ke balai polis berhampiran dan membuat laporan selepas menyedari dirinya menjadi mangsa ugut dan penipuan.
“Kita bertindak atas maklumat awam dan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya menahan suspek lelaki membawanya ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga sepuluh tahun, denda, sebatan, atau kombinasi mana-mana hukuman tersebut.
Semakan lanjut terhadap identiti suspek mendapati beliau mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan yang sama dan telah disenaraikan sebagai ‘Wanted Person’ oleh pihak berkuasa di negeri lain.
“Semua perlu berhati-hati dan sentiasa berwaspada untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa.
“Hadir segera ke balai polis untuk melaporkan sebarang bentuk ugutan atau pemerasan kepada pihak kami untuk tindakan selanjutnya,” ujar beliau lagi.
