Kena dengar apa rakyat mahu: Jeffrey

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Naib Pengerusi Gagasan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan memberitahu bahawa keutamaan pada masa sekarang adalah untuk mendengar apa yang dikehendaki oleh rakyat.

“Kita akan bekerjasama dengan sesiapa sahaja, untuk kestabilan kerana ini adalah keutamaan kita. Kita kena dengar apa yang rakyat mahu, jika rakyat mahu A, maka kita kena respon A lah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sebuah sesi sidang media di sini, petang tadi.

Menurut Jeffrey, keadaan semasa masih terlalu awal untuk GRS membuat sebarang pengumuman berkaitan kerjasama bersama parti politik gabungan lain.

“Senario parti tempatan versus parti nasional ini, masih terlalu awal untuk kita cakap atau umumkan apa-apa,” katanya lagi.

Pada 9 Mei lalu, Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia telah mengeluarkan kenyataan bahawa Barisan Nasional (BN) sudah mencapai kata sepakat untuk menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal tiba tidak lama lagi.

Kerjasama itu diumumkan oleh Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Hari yang sama, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor turut mengeluarkan kenyataan maklum balas dan memberitahu bahawa GRS bersedia untuk bertanding secara solo dan memfokuskan kepada usaha jalinan kerjasama dengan parti tempatan lain yang sehaluan.

Terbaru, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa kunjungan beliau ke Tawau pada 11 Mei berkata, kerjasama antara PH, BN dan GRS pada PRN akan datang amat penting bagi menjamin kestabilan politik peringkat nasional dan Sabah.

Anwar yang juga merupakan Pengerusi PH berkata, kerjasama antara PH Sabah, BN Sabah dengan GRS masih diperingkat perbincangan dan belum dimuktamadkan lagi.

Tinggalkan komen