KDCA pantau perbuatan salah laku, perketat peraturan Pesta Kaamatan

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) memberitahu bahawa penguatkuasaan bagi memantau perbuatan salah laku semasa sambutan Pesta Kaamatan yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan Tahun 2025, Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan berkata usaha itu adalah bagi memastikan acara tahunan tersebut boleh disambut dengan lebih harmoni, teratur dan mesra tanpa timbul sebarang masalah.

“Untuk pengetahuan semua, kali ini kita tidak ada tolak ansur bagi perbuatan salah laku yang mengganggu ketenteraman dan keharmonian Pesta Kaamatan.

“Tidak akan ada lagi kejadian menari di atas meja, pengambilan alkohol secara berlebihan atau pasang muzik yang kuat selepas pukul 1.00 pagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa sesi sidang media Pesta Kaamatan Tahun 2025, di sini, petang tadi.

Menurut Jeffrey yang juga merupakan Timbalan Presiden KDCA, rumah-rumah tradisi juga hanya dibenarkan untuk menyediakan hidangan makanan dan minuman asli tradisional sahaja.

“Pengendali yang tidak patuh atau ingkar dengan garis panduan yang diberikan, maka mereka akan dikenakan denda sehingga RM1,000.

“Sebelum ini kita terima banyak aduan daripada kawasan kejiranan berdekatan kerana muzik dipasang kuat dan mengganggu ketenteraman mereka.

“Boleh untuk duduk sambung bercerita tapi tidak boleh pasang muzik, dan tahun lepas sahaja, ada enam buah rumah tradisi yang kena denda untuk kesalahan itu,” katanya lagi.

Tambahnya, pihak keselamatan juga akan membuat pemantauan dan jika ada pemabuk yang ektrem dan mengganggu ketenteraman, tindakan akan diambil.

“Jangan makan lebih, jangan mabuk lebih, kalau kita tangkap ada yang melampau, kita hantar tidur di kurungan satu malam, dan penguatkuasa akan ambil kompaun,” katanya. 

Dalam pada itu, Jeffrey turut memberitahu bahawa pihak KDCA juga berusaha untuk menggalakkan penyertaan lebih meluas daripada para peniaga gerai.

“KDCA telah mengurangkan kadar sewaan gerai kepada serendah RM5,000 tahun ini, berbanding RM7,000 sebelum ini.

“Kita cadang, tahun depan jika kita dapat lebih banyak penaja untuk Pesta Kaamatan, maka kita boleh turunkan harga kepada harga macam dulu, iaitu RM2,500,” tambahnya lagi.

Acara pembukaan Pesta Kaamatan pada 30 Mei yang berlangsung di Hongkod Koisaan bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala acara perasmian penutupan pada 31 Mei pula akan disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman.

Tinggalkan komen