Hutan Damai sebagai tapak warisan dunia kedua Sabah

Oleh: Sumayyah Rihanna

KALABAKAN: Kerajaan Negeri Sabah sedang berusaha gigih untuk mengangkat kawasan hutan Damai yang merangkumi Lembah Danum, Maliau Basin dan Imbak Canyon sebagai Tapak Warisan Dunia kedua di negeri ini selepas Taman Kinabalu di Kundasang.

Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, pengiktirafan Damai di peringkat antarabangsa mempunyai potensi besar dalam menarik lebih ramai pelancong ke Sabah, sekali gus memacu industri pelancongan berasaskan alam sekitar.

“Pengiktirafan ini akan menjadikan kawasan berkenaan lebih dikenali dan berdaya saing sebagai destinasi eko-pelancongan bertaraf dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Kesedaran Landskap Hutan Hujan di Pusat Pembelajaran Lembangan Maliau, di sini, hari ini.

Menurut Andi, usaha ke arah pencalonan Tapak Warisan Dunia itu turut disokong oleh kerajaan negeri menerusi pelbagai inisiatif, termasuk penyediaan dokumentasi teknikal serta memperkasa promosi dan kesedaran awam terhadap kepentingan pemuliharaan hutan.

“Saya ingin melihat kemajuan pembangunan di kawasan saya, dan salah satu puncanya adalah melalui pengiktirafan Maliau Basin sebagai Tapak Warisan Dunia, apabila taraf ini diangkat, kita bukan sahaja dapat menarik lebih ramai pelancong, tetapi mereka juga akan melalui bandar Tawau dan Pekan Kalabakan,” katanya.

Maliau Basin turut dikenali sebagai ‘The Lost World of Sabah’, dan merupakan hutan simpan yang kaya dengan biodiversiti serta habitat semula jadi unik. 

Berkedudukan di bahagian tengah Sabah, kawasan itu diiktiraf sebagai antara ekosistem hutan hujan tropika terbaik dan paling tidak terganggu di dunia.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Pengurus Kumpulan Konservasi Yayasan Sabah Dr. Waidi Sinun dan Pegawai Daerah Sook Caroline Benjamin.

Tinggalkan komen