LAHAD DATU: Dua lelaki warga asing ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes mencederakan seorang peniaga lelaki di Kampung Epil, 3 April lalu.
“Kejadian dipercayai berpunca daripada kenyataan berunsur gangguan seksual yang dipamerkan oleh suspek terhadap isteri mangsa.
“Mangsa kemudian pergi bersemuka dengan suspek dan menasihatinya, namun mangsa diserang dengan tali pinggang dan cedera di bahagian dahi,” jelas kenyataan yang dikongsikan di laman media sosial rasmi Polis Daerah Lahad Datu, pagi ini.
Hasil maklumat dan risikan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) daerah itu bersama Ibu Pejabat Daerah Kunak, kedua-dua lelaki berumur 31 tahun dan 34 tahun itu berjaya ditahan di Kampung Rata, Kunak, kelmarin.
Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
