Tuntutan 40 peratus hasil negeri bakal di dengar di Mahkamah Tinggi

KOTA KINABALU: Selepas hampir lima dekad menjadi persoalan, isu tuntutan 40 perasus hasil bersih Kerajaan Persekutuan daripada Sabah kini dibawa ke peringkat pendengaran penuh di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak di Kota Kinabalu.

Sabah Law Society (SLS) memfailkan tindakan undang-undang itu untuk menuntut hak perlembagaan Sabah yang didakwa telah lama dinafikan.

“Di bawah Perkara 112C dan Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan, Sabah berhak menerima geran khas tahunan bersamaan dua perlima daripada hasil bersih yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan dari negeri tersebut, satu ketetapan yang seharusnya disemak semula menjelang tahun 1974.

“Namun semakan yang diwajibkan itu tidak pernah berlaku sehingga tahun 2022, mengakibatkan hampir 50 tahun tempoh yang digelar sebagai “Tahun-Tahun Yang Hilang”, di mana pembayaran yang sepatutnya tidak dibuat,” kata Presidennya, Roger Chin.

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media di sini, malam tadi.

Beliau turut menegaskan bahawa tuntutan itu bukan bersifat politik, tetapi sebagai sebuah usaha untuk menuntut keadilan perlembagaan.

“Ini adalah isu perundangan dan perlembagaan, bukan politik. Ia melibatkan hak rakyat Sabah yang telah termaktub sejak pembentukan Malaysia pada 1963,”katanya.

Menurut beliau, pendengaran itu adalah peluang bersejarah untuk rakyat Sabah menyaksikan bagaimana mahkamah menilai isu yang menyentuh hak dan kedudukan negeri dalam Persekutuan.

SLS selaku pemohon berhujah bahawa 40 peratus hasil tersebut adalah hak mutlak dan bukan geran bersifat budi bicara. 

“Ini adalah kegagalan Kerajaan Persekutuan melaksanakan semakan semula sejak 1974 dan tidak membuat pembayaran sewajarnya adalah satu pelanggaran terhadap Perlembagaan Persekutuan.

“Sebaliknya, Kerajaan Persekutuan sebagai responden pertama menegaskan bahawa semakan pertama pada tahun 1969 telah menetapkan satu kadar geran tetap sebanyak RM26.7 juta setahun.

“Menurut mereka, pembayaran ini dan rundingan berterusan dari 1974 hingga 2021 sudah mencukupi dan tidak wujud sebarang tunggakan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri selaku responden kedua, mengakui tidak ada semakan semula dilakukan dalam tempoh tersebut tetapi menegaskan bahawa mereka sentiasa berusaha menuntutnya.

Mereka turut menandatangani perjanjian interim pada 2022 dan 2023 tanpa menjejaskan hak untuk menuntut berdasarkan formula asal 40 peratus.

Tambah Roger lagi, perbicaraan kes akan dijalankan secara terbuka pada Isnin, 7 Julai 2025, pukul 9.00 pagi, di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

“Orang awam dialu-alukan hadir sebagai pemerhati bagi menyaksikan proses kehakiman dalam isu yang mempunyai kepentingan awam yang besar.

“Sebagai sebahagian daripada usaha mendidik masyarakat mengenai latar belakang dan implikasi kes ini, SLS akan mengadakan sesi Townhall di Sekretariat SLS pada Jumaat, 20 Jun 2025 pukul 3.00 petang, tempat adalah terhad dan boleh didaftarkan melalui talian 088-232662,” katanya. 

“Apa yang diputuskan dalam kes ini bukan sahaja memberi kesan kepada negeri Sabah, tetapi juga mencerminkan tahap komitmen negara terhadap prinsip federalisme dan keadilan perlembagaan,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen