KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) sekali lagi menegaskan bahawa ia akan bertanding secara bersendirian menggunakan logo partinya sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.
Setiausaha Agungnya, Datuk Loretto Padua Jr mengesahkan bahawa partinya tidak menyertai mana-mana gabungan politik bagi menghadapi PRN Sabah ke-17.
Beliau berkata, parti itu sejak awal lagi konsisten sebagai satu-satunya parti pembangkang di Sabah, dan percaya bahawa gabungan politik bukanlah jawapan kepada kemakmuran Sabah kerana masa depan negeri ini memerlukan satu gerakan yang tegas dan berteraskan rakyat.
“Warisan kini sedang giat membuat persiapan menghadapi PRN Sabah. Pendirian kami jelas, Warisan bersama rakyat. Kami tidak akan terlibat dalam permainan politik yang sedang berlaku, perjuangan kami adalah demi hak dan masa depan rakyat Sabah.
“Pilihan raya kali ini adalah tentang memilih pemimpin yang benar-benar ikhlas memperjuangkan Sabah, bukan mereka yang hanya pandai bermain politik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tempoh lima tahun Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, yang akan terbubar secara automatik pada 11 November, bermula dengan persidangan pertama dan pembukaan rasmi DUN Sabah selepas PRN Sabah ke-16 yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah ke-10, Tun Juhar Mahiruddin, pada 12 November 2020.
Pembubaran DUN Sabah ke-16 ini akan membuka jalan kepada pelaksanaan PRN Sabah ke-17. (Sumber dari Bernama)
