PJP hadir taklimat keselamatan dan operasi SSGP

KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Jauteh Dikun hadir Taklimat Keselamatan dan Pengoperasian Sabah-Sarawak Gas Pipeline (SSGP) yang diadakan di Bilik Persidangan, Tingkat 5 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini.

Taklimat tersebut bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama strategik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah amnya dan pihak Petronas dalam aspek keselamatan serta pemantauan operasi Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak.

Ia turut merangkumi aspek keselamatan fizikal, ancaman sabotaj, serta pengurusan risiko yang berkaitan dengan infrastruktur tenaga negara.

“Saya ingin menegaskan bahawa komitmen PDRM Sabah dalam memastikan keselamatan aset strategik negara sentiasa terjamin.

“Selain itu juga, aspek lain yang perlu diberi fokus adalah kepentingan kerjasama antara agensi penguatkuasaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Petronas dalam memelihara kestabilan dan kesejahteraan rakyat,” kata Jauteh semasa menyampaikan ucapan alu-aluan.

Taklimat disampaikan oleh Pengurus Besar Sabah-Sarawak Gas Pipeline, Petronas Carigali, Aset Sabah, bersama pegawai-pegawai kanan Petronas.

Selain itu, mereka turut memberikan penerangan menyeluruh berkenaan aspek teknikal saluran paip gas, prosedur operasi standard (SOP), serta langkah-langkah keselamatan yang diamalkan.

“Program seumpama ini diharapkan dapat meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan kerjasama berterusan antara sektor keselamatan dan industri dalam memastikan operasi infrastruktur tenaga negara berjalan lancar, selamat dan mampan,” jelas Jauteh.

Hadir sama dalam sesi taklimat itu ialah Komander Briged Sabah PGA SAC Datuk Abdul Rani Alias, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah & Keselamatan Komuniti Kontinjen Sabah SAC Datuk Mohd Azhar Hamin,

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah SAC Datuk Azmi Abdul Rahim, Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam Kontinjen Sabah SAC Abdul Fuad Abdul Malek, Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Sabah SAC Ashmon Bajah, Ketua-Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Papar, Beaufort, Sipitang dan Labuan serta delegasi rombongan.

Tinggalkan komen