KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan disyaki aktif kes pecah rumah di sekitar daerah ditahan dalam sebuah tangkapan pada pukul 3.40 petang Isnin, di kawasan Jalan Gaya.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata pihaknya menerima dua laporan berkaitan kes pecah rumah yang berlaku pada 18 Mei 2025, masing-masing pada pukul 6.13 pagi dan 2.17 petang, di kawasan Luyang dan Jalan Penampang, Kota Kinabalu.
“Kedua-dua kejadian melibatkan kehilangan wang tunai, barangan kemas, telefon bimbit dan pelbagai barangan lain, dengan anggaran kerugian keseluruhan mencecah RM10,000.
“Laporan dibuat oleh dua individu berasingan yang memaklumkan bahawa kediaman mereka telah dimasuki oleh suspek yang dipercayai lebih daripada seorang.
“Kedua-dua kes kini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan di sini, petang tadi.
Menurut Kasim, risikan dan siasatan akan terus dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kota Kinabalu.
“Susulan daripada tangkapan tersebut, beberapa serbuan agresif dijalankan secara berasingan pada hari yang sama berdasarkan maklumat yang diperoleh, yang membawa kepada penahanan tiga lagi rakan suspek.
“Kumpulan ini didapati aktif melakukan jenayah pecah rumah di sekitar Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Kudat dan Sandakan, serta terlibat dalam jenayah lain termasuk penyalahgunaan dadah.
“Kumpulan ini menyasarkan kawasan perumahan yang sunyi dan beroperasi dalam kumpulan tiga hingga empat orang menggunakan kenderaan sewa, dengan modus operandi mereka, seorang suspek akan menunggu dalam kenderaan manakala seorang atau dua suspek lain akan masuk ke rumah dengan mengumpil tingkap atau memecah pintu cermin balkoni sebelum melarikan diri bersama barang curi,” tambah Kasim lagi.
Jelas beliau lagi, siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenalpasti penglibatan kumpulan itu dalam kes-kes lain termasuk di daerah lain.
“Polis kini giat mengesan seorang lagi rakan sejenayah mereka yang masih bebas dikenali dengan nama panggilan ‘Pindil’, dan kami yakin suspek akan berjaya diberkas dalam masa terdekat,” ujar beliau lagi.
