KOTA KINABALU: Lembaga Koko Malaysia (LKM) bakal menganjurkan acara sulung Festival Koko Antarabangsa Malaysia (MICF) 2025, yang akan berlangsung dari 24 hingga 27 Mei di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Festival itu diadakan antaranya adalah bagi memperkasa industri koko negara sebagai penyumbang ekonomi utama dan pemai global.
Sabah terpilih sebagai tuan rumah atas rekod cemerlang menyumbang kepada lebih 60 peratus sumber keluaran koko negara.
Ketua Pengarah LKM, Datuk Dr. Ramle Kasin berkata pihaknya menyasarkan nilai industri kekal pada RM15 bilion, disokong oleh kenaikan harga, inovasi dan penyelidikan & pembangunan (R&D) yang kukuh.
MICF 2025 juga berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hab koko serantau.
Selain itu, MICF 2025 akan menampilkan lebih 150 pempamer, Persidangan Koko Antarabangsa Malaysia (MICC), serta pelbagai aktiviti termasuk bengkel pembuatan coklat, acara keluarga, dan larian kecergasan “Choco Rush”.
Dalam pada itu, acar menarik lain adalah dengan kemunculan penyanyi tanah air. Faizal Tahir yang menjadi jemputan utama bagi persembahan hiburan.
Lebih menarik lagi, terdapat acara cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik, antaranya seperti kereta, ATV dan motosikal.
Acara itu disokong oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi serta Kerajaan Negeri Sabah.
Orang ramai dijemput hadir untuk turut serta meraikan perjalanan koko dari ladang ke produk premium.
Masuk adalah percuma, dan acara bermula setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 9 malam.
