Sukan mampu semai semangat juang: Nizam

GOMBAK: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata sukan berpotensi untuk menjadi platform bagi generasi belia menyemai semangat juang.

“Bertanding dalam sukan bukan sekadar untuk tubuh badan sihat, tetapi suka juga menyemai semangat juang dalam pasukan, dan lebih bernilai adalah semangat perpaduan di antara semua rakan seperjuangan.

“Ingatlah bahawa kemenangan sebenar bukan sahaja terletak pada trofi atau pingat yang dimenangi, tetapi juga pada pengalaman, pembelajaran, dan persahabatan yang telah terjalin sepanjang sukan ini.

“Semoga segala usaha dan pengorbanan yang telah dicurahkan akan menjadi pendorong untuk anda terus maju dan berjaya dalam bidang yang diceburi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmi penutup Hari Sukan Anak Sabah di sini, pada Ahad.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, program sukan juga memberi peluang kepada peserta untuk menonjolkan bakat dan kebolehan.

“Selain itu acara seperti ini menjadi platform untuk memupuk semangat kesukanan, perpaduan, dan silaturahim di kalangan peserta.

“Ini adalah nilai-nilai murni yang perlu kita semai dan kekalkan dalam masyarakat kita,” katanya.

Beliau turut merakam tahniah kepada persatuan Ikatan Anak-anak Sabah (IKAS) kampus Gombak selaku penganjur dan berharap program seperti itu akan diteruskan lagi pada masa depan.

“Saya berharap agar program seperti ini dapat diteruskan dan diperkasakan lagi pada masa hadapan.

“Marilah kita bersama-sama berusaha untuk melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang sukan tetapi juga berdaya saing, berdisiplin, dan berwawasan,” kataya.

Seramai 68 peserta dari empat kampus utama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengambil bahagian dalam program tahunan Sukan Anak-Anak Sabah 2025 yang melabuhkan tirainya semalam.

Hadir sama Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Pembangunan, UIAM,

Jamaluddin Said, Pengarah Program Muhammad Ikmal Iksani serta ahli jawatankuasa Hari Sukan Anak- anak Sabah.

Tinggalkan komen