KOTA KINABALU: Institut Kajian Pembangunan (Sabah), (IDS) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis akan menganjurkan majlis pelancaran bagi sebuah projek kajian sejarah yang bertajuk Srikandi Dang Insum: Kepahlawanan Wanita Dalam Sejarah Sabah, pada hari Rabu, 21 Mei 2025, bertempat di Ballroom, Hotel Gem, Beaufort.
Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul, berkata kajian itu bertujuan untuk mendokumentasikan secara ilmiah sejarah perjuangan tokoh wanita tempatan, Dang Insum, yang memimpin penentangan terhadap British North Borneo Chartered Company (BNBC) di Borneo Utara (Sabah) pada penghujung abad ke-19.
“Sejarah Sabah kaya dengan kisah kepahlawanan dalam memperjuangkan kemerdekaan, namun sebahagian besarnya masih dalam bentuk tradisi lisan, kesenian pementasan dan karya sastera.
“Justeru, melalui kajian ini, IDS bersama rakan strategiknya akan mengambil langkah proaktif untuk menrekodkan keberanian dan kepimpinan tokoh wanita seperti Dang Insum secara sahih dan berintegriti sebagai salah satu usaha yang penting untuk memastikan peranan dan sumbangan wanita dalam sejarah negeri Sabah diangkat dan dan terus diiktiraf dalam wacana sejarah negeri Sabah agar dapat menjadi rujukan generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini pada Ahad.
Menurut Ramzah, tokoh itu bukan sahaja penting kepada sejarah daerah Beaufort, malah melambangkan semangat juang wanita Sabah dalam era penjajahan British.
“Kajian ini turut berpotensi membentuk asas kepada pembangunan produk pelancongan berasaskan sejarah dan warisan, sekali gus memperkukuh identiti tempatan dan memperkasa jati diri generasi muda,” katanya.
Majlis pelancaran itu akan dirasmikan oleh Pengerusi IDS, Datuk Seri Azizah Mohd. Dun.
Program itu turut merangkumi lawatan ke tapak tugu Dang Insum di Padas Damit serta sesi taklimat yang akan disampaikan oleh ketua penyelidik kajian tersebut.
Untuk maklumat lanjut mengenai program ini, sila berhubung dengan Penyelaras Program, Royaini Matusin, melalui e-mel di royaini.matusin@ids.org.my atau hubungi 088-450 500.
