Sabah perlu pemimpin cekal hati: Nizam

KOTA KINABALU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan memberitahu bahawa rakyat Sabah memerlukan pemimpin yang berjiwa cekal dan kuat untuk terus mentadbir dan memperjuangan mandat rakyat.

“Sabah tidak perlu pemimpin atau ahli politik yang ‘hati tisu’ yang mudah tersentuh dan jiwa cepat koyak.

“Sabah perlukan pemimpin yang berbesar hati, bertekad dalam berjuang untuk pembangunan, mampu menerima kritikan, bekerja keras walaupun tanpa hebahan dan menyampaikan mandat rakyat dengan hasil, bukan dengan karangan penuh kiasan, sindiran dan nostalgia kerusi,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media di sini hari ini.

Menurut Nizam yang juga merupakan Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), sebagai pemimpin, aspek utama yang perlu wujud dalam karisma adalah sentiasa berpijak di bumi yang nyata dan menghindari pertelingkahan yang tidak berkepentingan untuk rakyat dan negeri Sabah secara keseluruhannya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Suhaimi Nasir kerana masih sempat memerhatikan pergerakan saya dan ternyata nama saya cukup kuat untuk memanggil beliau keluar dengan nada marah-marah dan penuh emosi, satu tanda bahawa kebenaran itu, walau pahit, tetap mengganggu ketenangan mereka yang berkepentingan.

“Suhaimi dengan penuh dramatik menyeru agar saya melihat cermin. Izinkan saya membalas: terkadang cermin yang digunakan itu retak, dan yang dilihat cuma bayang-bayang dendam politik lama yang belum selesai. Barangkali itu sebabnya beliau gagal membezakan fakta dan sentimen,” katanya. 

Tambah Nizam lagi, beliau tidak pernah menafikan bahawa beliau pernah berada dalam barisan kepimpinan kerajaan terdahulu dan tidak pernah menjadikan hal tersebut sebagai alasan untuk ‘suci’.

“Saya tidak menafikan saya pernah berada dalam kerajaan dahulu, dan saya juga tidak menyembunyikan rekod saya tetapi bezanya, saya tidak muncul selepas dua dekad diam lalu mendakwa suci seperti kain putih.

“Saya terus bekerja dan kekal bersama rakyat, bukan hanya menjelma apabila ingin menabur persepsi.

“Suhaimi juga menyebut tentang ‘berterima kasih kepada UMNO’, saya tidak tahu jika beliau masih terperangkap dalam politik era 1990-an yang percaya bahawa jawatan adalah hasil belas ehsan parti, bukan mandat rakyat,” jelasnya lagi.

Nizam turut menasihatkan semua pihak agar tidak mengambil langkah mudah dengan mengejar publisiti dan mencari masalah dengan saling menunding jari pada satu sama lain, sebaliknya fokus kepada usaha pembangunan Sabah.

“Ketika sedang asyik menyerang saya, beliau juga ‘tersasul’ memalitkan rakan-rakan kabinet yang kini sama-sama berusaha membetulkan kesilapan lampau, termasuk kesilapan yang dilakukan oleh pemimpin partinya sendiri sewaktu menerajui Kerajaan Negeri dahulu.

“Soalan saya masih belum dijawab: ke mana RM7.5 bilion dana kemudahan asas semasa era UMNO dahulu? Soalan ini masih belum dijawab tuntas, dan setakat ini hanya dijawab dengan emosi, bukan data.

“Jika benar beliau dan kepimpinan UMNO Sabah hari ini mahu berubah dan tidak lagi terbeban dengan dosa-dosa lama, maka mulakanlah dengan menyumbang, bukan menyerang. Seandainya ingin berdrama, pastikan skripnya logik dan wataknya tidak bercanggah,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen