Hajiji ramah mesra bersama pempengaruh

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor meluangkan masa beramah mesra bersama 70 pempengaruh tempatan di Sabah semepnan program Saitai YAB Ketua Menteri bersama Pempengaruh Sabah 2025 di North Borneo Cruise, pada Ahad.

Beberapa pempengaruh berpeluang menyampaikan pandangan dan aspirasi golongan itu bagi mengangkat peranan mereka secara lebih signifikan di Sabah.

Antara yang dibangkitkan ialah cadangan penubuhan entiti yang bertanggungjawab  menjaga dan menyelaras gerak kerja dalam kalangan pengkarya seni di negeri ini bagi mengangkat produk dan karya seni tempatan, selain inisiatif yang disediakan bagi membantu pempengaruh khususnya dalam bidang keusahawanan. 

Dalam maklum balasnya, Hajiji menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa melihat keperluan rakyat termasuk golongan seni dan pempengaruh bagi sama-sama membangun negeri mengikut kapasiti masing-masing.  

“Keperluan serta permintaan golongan pengkarya dan pempengaruh akan terus  mendapat perhatian Kerajaan Negeri bagi mengangkat hasil karya mereka sekali gus  memartabat industri seni di Sabah,” katanya. 

Program anjuran Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) Jabatan Ketua  Menteri Sabah itu dianjurkan antaranya bertujuan untuk mendengar permintaan dan keperluan pempengaruh tempatan.

Tinggalkan komen