KOTA KINABALU: Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Dr. Ramzah Dambul menjelaskan bahawa kutipan hasil dan tabung simpanan negeri (reserve) boleh dijadikan pengukur prestasi Kerajaan Negeri yang lebih absah dan tepat.
“Dari segi ekonomi, KDNK (GDP) merupakan satu petunjuk pertumbuhan ekonomi kasar dan hanya mengukur jumlah keseluruhan aktiviti ekonomi dalam negeri contohnya output barangan dan perkhidmatan.
“Tetapi KDNK tidak mengambil kira siapa yang menikmati kekayaan, iaitu soal keadilan agihan dan oleh sebab itu, saya juga memetik statistik penurunan jurang disparity Sabah yang menunjukkan agihan ekonomi lebih seimbang.
“Pada tahun 2019, indeks ini berada pada tahap 0.396, dan menjelang tahun 2022, ia telah menurun kepada 0.390,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media di sini hari ini.
Menurut Ramzah, KDNK tidak boleh dijadikan sebagai indikator untuk menyukat kecekapan urustadbir kerajaan kerana ia tidak mencerminkan prestasi fiskal negeri secara langsung.
“Sebahagian besar KDNK disumbang oleh sektor swasta dan rangkaian ekonomi dari ekosistem persekutuan dan tidak semestinya dipacu oleh kecekapan polisi dan strategi negeri.
“Kenapa? Sebab keupayaan kerajaan negeri menjana pendapatan tinggi adalah indikator penting untuk autonomi kewangan.
“Begitu juga, peningkatan hasil menunjukkan kecekapan dalam pungutan, inovasi fiskal, serta pentadbiran yang lebih efektif dan telus,” katanya lagi.
Tambah Ramzah, simpanan yang stabil atau meningkat menunjukkan pengurusan kewangan berhemah dan daya tahan menghadapi krisis.
“Ini juga mencerminkan kemampuan melabur semula dalam projek pembangunan dan infrastruktur.
“Juga kemampuan dalam mengupaya keperluan sosioekonomi komuniti dan kelompok marginal, sepertimana yang termanisfestasi dalam pelbagai inisiatif menangani kemiskinan tegar, serta pelancaran pelbagai jenis bantuan pendidikan dan keusahawanan akar umbi,” jelasnya lagi.
Terdahulu, Naib Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan), Khairuddin Daud membuat kenyataan berkenaan peningkatan kadar pengangguran di Sabah, dan mempersoal status trend penurunan bermakna sebagaimana yang pernah dijelaskan berkenaan isu pengangguran di Sabah, oleh Ramzah.
“Pengangguran adalah isu dinamik dan secara natural, denominator (tandasukat) akan berubah-ubah kerana jumlah graduan dan lepasan sekolah yang masuk ke pasaran kerja sentiasa meningkat setiap tahun, atau mungkin berubah kerana kegawatan dan pengucapan ekonomi global.
“Sabah amat sensitif kepada faktor ini kerana ia terasing secara total daripada ekosistem pasaran buruh Malaysia (berpunca dari jurang geografi).
“Sebab itu nilai peratusan mutlak kadar pengangguran tidak boleh dijadikan petunjuk kecekapan dalam mengelola pasaran buruh dan yang lebih tepat adalah melihat kepada prestasi mengurus trend pengangguran berasaskan tandasukat pemula,” jelas Ramzah.
Tambah Ramzah lagi, daripada 2017 hingga 2019, terdapat trend menaik secara konsisten,bermula dengan 5.6 peratus pada 2017, dan meningkat 5.8 peratus pada 2018 dan 2019.
Katanya, semasa era Pandemik 2020 hingga 2021, kerana berlaku penguncupan ekonomi secara drastik akibat pandemik dan impak aftermath, pengangguran meningkat mendadak kepada lapan peratus (2020) dan 8.2 peratus (2021).
Daripada 2021 hingga 2024, terdapat trend penurunan, bermula dengan 8.2 peratus pada 2021, dan menurun kepada 7.7 peratus dan 7.5 peratus pada 2022 dan 2023. Angka tidak rasmi pada 2024 ialah 7.9 peratus (hingga suku ketiga).
“Ini yang saya katakan sebagai menganalisis unjuran, jangan lihat pada nilai angka semata-mata, lihat pada trend, menaik atau menurun.
“Warisan bermula dengan 5.6 peratus pada 2017 selepas peninggalan BN sebagai tandasukat asas, dan berakhir dengan 5.8 peratus pada 2019, manakala GRS bermula dengan 8.2 peratus pada 2021, peninggalan aftermath pandemik, sebagai tandasukat asas, dan berakhir dengan 7.9 peratus pada 2024.
“Terpulang pada penilaian masing-masing, prestasi siapa lebih baik, namun sebagai penyelidik, saya diajar untuk meneliti lebih terperinci pergerakan trend, sama ada ia menaik atau menurun,” katanya.
Ramzah juga menegaskan bahawa nilai kutipan hasil dan simpanan negeri jauh lebih tepat sebagai bukti berbanding hanya melihat pertumbuhan KDNK semata-mata.
“Semua hujah saya tiada kaitan dengan pandangan dan pendirian politik, saya hanya berkongsi penilaian atas kapasiti sebagai pengkaji pembangunan negeri Sabah, dengan meneliti bagaimana setiap pembolehubah ekonomi beroperasi dan berfungsi.
“Ya, tuan-puan boleh bersetuju untuk tidak bersetuju tapi jangan sempitkan pandangan saya dengan tuduhan-tuduhan berbentuk propaganda politik.
“Kalau Khairuddin yakin bahawa analisisnya sendiri lebih tepat dan objektif, maka saya mempelawa beliau atau wakil beliau untuk berdebat tentang isu ini di atas platform terbuka yang disaksikan oleh seluruh warga Sabah dan biarlah mereka sendiri yang menilai, pandangan siapa yang menunggangi sentimen politik, dan pendapat siapa yang berteraskan logik empirikal,” jelasnya.
