PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick berkata, pelbagai projek pembangunan berimpak besar telah dan sedang dilaksanakan di daerah itu sejak tahun 2023.
Katanya, antara projek utama yang sedang giat dilaksanakan termasuk projek tebatan banjir di kawasan Donggongon iaitu pendalaman dan pembesaran saliran parit utama yang kini berjalan rancak selepas tertangguh beberapa tahun.
“Kita juga menambahbaik tadbir urus pengurusan bencana banjir selepas berlaku banjir besar di Penampang tahun lepas. Selama ini, Penampang berhadapan dengan bencana banjir bertahun-tahun tetapi hanya mempunyai satu pusat pemindahan sementara sahaja.
“Pada ketika ini, kita telah mengenalpasti 21 bangunan awam yang boleh diwartakan sebagai pusat pemindahan sementara mangsa banjir. Ini kerana tidak praktikal kampung yang jauh dari Pusat Kebudayaan seperti Kampung Sugud, Kampung Kolopis dan kampung-kampung dipindahkan ke sana semasa operasi menyelamat dan memindah mangsa banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Pesta Kaamatan peringkat daerah Penampang, di Buhavan Square, di sini, hari ini.
Menurut Ewon, projek menaiktaraf jalan Terian-Buayan, pelaksanaan pembinaan Tamu Donggongon, pembinaan jambatan Babagon serta pelaksanaan penyukatan tanah Kampung Togudon di bawah Program PANTAS juga kini sedang rancak dilaksanakan.
“Pembinaan Tamu Donggongon yang tertangguh sejak bertahun-tahun kini telah dimulakan pelaksanaannya bulan lepas. Ini susulan perbincangan dan lawatan tapak bersama Ketua Pengarah ICU, Jabatan Perdana Menteri pada bulan Januari 2023 bagi memastikan projek ini dilaksanakan semula.
“Isu pemilikan tanah yang berpuluh tahun dihadapi oleh penduduk di perkampungan berkecerunan tinggi iaitu Kampung Togudon kini sudah mendapat penyelesaiannya selepas kita melancarkan penyukatan tanah PANTAS tahun lepas,” katanya.
Tambah Ewon, projek pembangunan jambatan konkrit dan naik taraf jalan juga turut menjadi keutamaan dalam usaha menambahbaik infrastruktur asas di daerah itu.
“Penduduk Mukim Babagon yang selama ini bergantung sepenuhnya kepada laluan low level crossing kini akan mendapatan jambatan konkrit yang lebih selesa dan boleh digunakan setiap masa apabila projek yang dimulakan tahun lepas sudah siap sepenuhnya.
“Begitu juga dengan projek naik taraf jalan Terian-Buayan yang telah sekian lama diimpikan oleh penduduk-penduduk di sana kini sedang berjalan.
“Malah Majlis Daerah Penampang juga telah dinaiktaraf kepada Majlis Perbandaran pada tahun lepas,” katanya.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi turut menyediakan kemudahan perkhidmatan agensi-agensi di bawah Kementerian melalui pembukaan pejabat di Penampang.
“Di bawah KUSKOP, kita telah menaiktaraf perkhidmatan Bank Rakyat Cawangan Penampang, kita juga membuka pejabat cawangan TEKUN Nasional Penampang, pejabat Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) Sabah, pejabat SME Corp Sabah dan Hab PMKS di Penampang serta Live Hub Studio TikTok Shop di Penampang.
“Malah inisiatif-inisiatif baharu KUSKOP seperti Geran Usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak (BEEP Plus), Skim Pembiayaan Usahawan Tamu, Projek Premis Tamu Desa, Program Sejati MADANI Koperasi dan juga geran Tunas Usahawan Belia (TUBE) juga telah memberi manfaat kepada usahawan-usahawan dan koperasi-koperasi di daerah Penampang.
“Dalam tempoh dua tahun setengah, sejak saya diberi tanggungjawab besar menjadi wakil rakyat di Penampang, kita sendiri dapat melihat aktiviti-aktiviti pembangunan yang sedang rancang berlangsung sekarang, bukan hanya pembangunan infrastruktur tetapi juga pembangunan ekonomi,” katanya.
Dalam pada itu, Ewon turut memberitahu bahawa pendekatan perancangan yang komprehensif dan tersusun diperlukan oleh Penampang supaya dapat dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ketigabelas (RMK13) 2026-2030.
“Penampang mesti berupaya menyusun rancangan pembangunan sendiri, sebab itu Pelan Induk Pembangunan Penampang yang telah dilancarkan pada tahun 2023 merupakan dokumen rujukan penting Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sabah dan pelbagai Kementerian untuk memastikan pelaksanaan RMK13 mengambil kira rancangan yang telah kita masukkan dalam pelan induk pembangunan Penampang.
“Saya berterima kasih kepada semua pimpinan, jabatan dan agensi yang terlibat dalam menjayakan pembangunan Penampang. Walaupun masih ada kelewatan dan projek tertangguh, kita akan teruskan perjuangan ini bersama-sama,” katanya.
Ewon turut berharap agar sambutan Pesta Kaamatan akan terus menjadi wadah menyatupadukan seluruh rakyat Penampang, bukan sahaja di kalangan pimpinan, tetapi juga dalam kalangan masyarakat umum.
“Hanya dengan perpaduan, kesatuan dan kerjasama, kita dapat memastikan masa depan pembangunan Penampang menjadi lebih baik,” ujarnya.
