Enakmen Pembangunan Belia cerminan identiti belia Sabah: MBS

KOTA KINABALU: Enakmen Pembangunan Belia Sabah dijangka mampu menjadi sebuah cerminan kepada identiti, cabaran dan keperluan belia Sabah secara menyeluruh.

Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan berkata, enakmen itu adalah manifestasi terhadap hasrat belia Sabah yang berdepan cabaran sosio-demografi dan struktur kepimpinan organisasi belia sedia ada.

“Di Sabah, belia kita menghadapi cabaran yang berbeza daripada belia-belia negeri-negeri lain.

“Apa yang pasti, enakmen yang dirangka berdasarkan cabaran sosio-demografi dan struktur kepimpinan organisasi belia sedia ada di Sabah.

“Belia di Sabah terdiri daripada pelbagai suku kaum, agama, dan budaya perlu disantuni secara berhemah mengikut acuan kita sendiri, kerana kita mempunyai keunikan dan terbukti erat dalam keharmonian hasil kepelbagaian kaum, agama, bangsa dan tradisi ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut Abqaree, cabaran penglibatan belia Sabah dalam aktiviti berkonsepkan persatuan adalah sesuatu yang perlu dipandang serius dan diberi penyelesaian tuntas.

“Harapan kita adalah apabila wujudnya enakmen itu kelak, ia mampu menyelesaikan isu berbangkit termasuk penurunan had umur belia kepada 30 tahun yang akan dikuatkuasakan di peringkat nasional mulai 1 Januari 2026.

“Selain itu, cabaran lain juga jelas apabila menyaksikan penglibatan belia dalam aktiviti kelab, persatuan, dan kesukarelaan hanya terbatas pada kadar 15 peratus daripada populasi keseluruhan belia,” katanya. 

Dalam pada itu, Abqaree turut menzahirkan sokongan terhadap usaha kerajaan menyediakan Pelan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 2026-2030, berdasarkan kejayaan perlaksanaan SMJ 1.0 yang berperanan sebagai jaringan sokongan sosial terhadap pembangunan belia di negeri itu khususnya dalam aspek pendidikan dan pembangunan modal insan. 

Terdahulu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dalam satu ucapan sewaktu Sambutan Hari Belia Kebangsaan Peringkat Sabah mengumumkan akan menggubal Enakmen Pembangunan Belia Sabah bagi mengukuhkan pengurusan organisasi belia di negeri itu. 

Enakmen itu dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS), dan MBS bagi meneliti perkara tersebut termasuk isu dasar peralihan umur belia. 

Tinggalkan komen