Oleh: Zacherlyn Ad
PAPAR: Pasukan Gerakan Am (PGD) menambah tiga batalion baru di Keningau, Kunak dan Sri Aman, Sarawak demi untuk mengukuhkan kesiapsiagaan pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) secara khusus untuk memelihara keselamatan sempadan negara dan ketenteraman awam.
“Dengan penambahan tiga batalion baru ini, maka sekarang di seluruh negara ada 23 batalion, dengan kekuatan anggota lebih daripada 12,000 orang,” kata Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui dalam sesi sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Batalion 21 PGA Keningau, Batalion 22 PGA Kunak Dan Batalion 23 PGA Sri Aman di PGA Briged Sabah di sini, hari ini.
Menurut Saifuddin, peluncuran ketiga-tiga batalion itu mempunya beberapa signifikan dan kewajaran yang sememangnya tepat untuk kesemua batalion direalisasikan kewujudannya.
“Signifikan kita hari ini ada tiga perkara utama. Pertama skali, ia memberi gambaran serta mengesahkan tahap kesiapsiagaan pasukan kita untuk mendepani apa jua senario, dan kebarangkalian yang berlaku, iaitu hal berkaitan cabaran mahupun ancaman keselamatan.
“Kita sedia maklum bahawa Sabah pernah berdepan peristiwa hitam sekitar 10 tahun lalu dan inilah sebab kita tidak boleh pandang remeh isu keselamatan negara dan sempadan,” katanya.
Tambah Saifudin lagi, aspek kedua pula adalah komitmen jitu dan berterusan dari pihak kerajaan bagi mengukuhkan sokongan kepada anggota pasukan, khasnya meliputi aspek kebajikan anggota dan penyediaan kemudahan yang sesuai.
“Kita mahu tambah pembelian aset, sediakan tempat tinggal dan pejabat yang selesa.
“Ini penting kerana jika kita mahu hidup senang, kita perlu menambah kelengkapan kerana sumber manusia yang terlatih saja tidak mampu untuk memberi prestasi cenerlang,” katanya.
Aspek ketiga pula katanya, berkaitan kejayaan Malaysia dalam mengekalkan kedudukan sebagai sebuah negara paling selamat di dunia.
“Negara kita sekarang di posisi ke-10 daripada lebih 160 negara lain dalam Indeks Keamanan Global.
“Ini adalah hasil kejayaan daripada penelitian, perancangan dasar keselamatan yang jelas serta pelaksanaan yang optimum, konsisten dan bersungguh-sungguh,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan kejayaan itu kepada PDRM dan PGA serta memuji semua usaha keras anggota keselamatan yang sangat berjasa pada negara ini.
“Kita berjaya begini kerana PDRM dan PGA, merekalah tunggak utama yang menyumbang kepada impak positif yang menjadikan Malaysia sebagai negara selamat, diyakini oleh pelabur luar.
“Pelabur luar akan melihat indikator keselamatan serta kestabilan negara sebagai hal utama sebelum mereka datang membuat pelaburan kerana mereka mahu pastikan pelaburan mereka berada dalam negara yang stabil dan selamat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Saifuddin juga menegaskan bahawa kepimpinan tertinggi PDRM mempunyai sebab bagi mewujudkan batalion baru berdasarkan pernilaian dan perancangan yang dirasakan sesuai untuk keselamatan umum.
“Saya katakan, pemilihan lokasi untuk ketiga-tiga batalion baru ini dibuat berdasarkan penilaian strategik oleh kepimpinan tertinggi PDRM.
“Kenapa di Sabah ada tujuh batalion, Sarawak ada empat, dan selebihnya di Semenanjung, itu semua adalah berdasarkan keperluan semasa dan penilaian menyeluruh hanya dibuat oleh pihak polis kerana mereka lebih mengetahui selok beloknya, bukan suka-suka pilih lokasi sebab negeri semata-mata,” katanya lagi.
Saifuddin juga memberitahu bahawa KDN turut memanfaatkan teknologi semasa menerusi penerapan inovasi terkini.
“Kita berusaha tingkatkan keupayaan pasukan dengan menerapkan inovasi dan teknologi terkini, dan kita juga ambil kira tentang kecerdasan buatan (AI).
“Kita ada tagline di KDN, tagline kita ‘AI for KDN, KDN for AI’.
“Kita mahu usaha untuk mempertahankan keselamatan negara dan umum berada di tahap terbaik dan untuk itu kita tambah batalion dan kekuatan anggota yang perlu seiring dengan latihan, aset, dan penguasaan teknologi,” jelas Saifuddin lagi.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun dan barisan tertinggi KDN serta PDRM.
