Utamakan perpaduan dan kesinambungan untuk PRN Sabah: Nurul Izzah

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar, menggesa semua ahli dan pemimpin parti untuk memberi komitmen dalam usaha mewujudkan perpaduan dan kesinambungan dalam persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi.

“Tiadak ada perjuangan politik yang boleh berjaya, tanpa adanya usaha dan komitmen yang konsisten, berterusan.

“Alhamdulillah, syukur, sesuai dengan tema kita hari ini iaitu kesinambungan, kerana dalam mana-mana gerakan atau perjuangan, andai tidak ada titik kesinambungan, mana mungkin kita boleh pergi lebih jauh dan menang,” katanya. 

Nurul Izzah berkata demikian semasa berucap dalam Pelancaran Jentera PRN17 Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Beliau turut mengimbau kembali kegigihan PKR di Lembah Pantai, di mana parti bertanding selama tiga penggal berturut-turut sebelum mencapai kemenangan, dan mengingatkan para ahli bahawa ketekunan adalah kunci kepada kejayaan akhirnya.

“Semangat kesinambungan kembali disemarakkan selepas Konvensyen PKR pada Ogos tahun lalu yang berjaya menarik lebih 10,000 ahli dan mencetuskan pelbagai program latihan dan libat urus, dengan sokongan kuat daripada kepimpinan Selangor.

“Walaupun kita mahu menjadi lebih aktif dan berkesan, ia bukan sesuatu yang mudah apabila sasaran kita adalah untuk menang 10 kerusi di Sabah.

“Sebab itu saya hadir bukan hanya sebagai pemimpin parti, tetapi untuk menegaskan bahawa kita semua adalah satu pasukan,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Izzah juga menekankan pentingnya kesatuan antara cabang-cabang, kepimpinan negeri dan pusat, khususnya dalam usaha di peringkat akar umbi seperti lawatan komuniti, dialog bersama usahawan dan petani, serta penyertaan ahli-ahli veteran.

“Usaha-usaha ini mesti melibatkan cabang dan pimpinan negeri.

“Bila ada YB di kawasan, mereka perlu bersama kita dan kita mahu rakyat nampak bendera PKR bersama impak sebenar dalam kehidupan mereka,” katanya.

Tambahnya lagi, kepercayaan rakyat terhadap PKR bergantung kepada kehadiran dan perkhidmatan yang konsisten di peringkat akar umbi.

“Kita mesti sentiasa ada di mana-mana supaya rakyat boleh berkata, ‘OK, kalau saya pilih parti ini, ada kejayaan dan kesan.’ Itulah cara kita membina kepercayaan,” katanya.

Selain itu, Nurul Izzah turut menyeru agar semua ahli menjauhi politik perpecahan dan naratif berasaskan ego, kerana ia bercanggah dengan nilai rakyat Sabah yang mementingkan keharmonian dan saling menghormati.

“Dulu, sebelum berkempen di Sabah dan Sarawak, kita mesti, kita wajib hadir kursus. 

“Kita diajar tentang perpaduan daripada rakyat Sabah.

“Begitu tinggi nilai hormat mereka di sini,” katanya.

Nurul Izzah turut memberi amaran terhadap politik kebencian dan provokasi, yang disifatkannya sebagai “api” yang boleh merosakkan dan membawa perpecahan.

“Ada yang menyalakan api untuk membakar kebencian, misalnya benci A, benci B, kononnya hanya mereka boleh memimpin.

“Tetapi itu bukan cara kita kerana kita percaya kepada api yang lain, api semangat, perjuangan dan kebanggaan budaya, yang mesti terus menyala,” katanya sambil memuji kekayaan budaya dan jati diri rakyat Sabah.

Katanya, kepimpinan nasional PKR tidak akan kukuh tanpa asas yang kuat di Sabah, begitu juga sebaliknya.

Beliau menggalakkan pemimpin pusat yang hadir untuk berhubung rapat dengan cabang tempatan dan menyumbang secara aktif.

“Saya hadir mewakili Datuk Mustapha, dan saya menyeru setiap pemimpin dari luar Sabah supaya cari satu cabang dan kawasan untuk disokong.

“Itu adalah tanggungjawab bersama kita,” katanya.

Mengenai cabaran sosioekonomi, beliau mengulangi bahawa komitmen PKR untuk menangani isu kemiskinan, peluang pekerjaan dan pendidikan di Sabah.

“Saya berada di Sandakan enam bulan lalu dan melihat masih ramai anak-anak yang tercicir dari sekolah. Inilah sebab kita mesti sentiasa dekat dengan rakyat, tanpa kehadiran, kita tidak boleh tawarkan penyelesaian sebenar,” katanya.

Nurul Izzah berkata, PKR tidak menjanjikan “bulan dan bintang”, tetapi menawarkan model pentadbiran yang telah terbukti di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

“InsyaAllah, dalam tempoh lima tahun akan datang, Sabah akan menikmati masa depan yang lebih baik.

“Kemiskinan akan dikurangkan, peluang pekerjaan diwujudkan, dan wanita akan diperkasakan.

“Itulah janji kami,” tambahnya.

Hadir sama ialah Pengerusi PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api Datuk Seri Panglima Christina Liew dan ADUN Inanam Datuk Peto Galim.

Majlis tersebut turut bersempena dengan Konvensyen PKR Peringkat Negeri Sabah, yang diadakan bagi menyatukan serta menggerakkan jentera parti menjelang pilihan raya.

“Alhamdulillah, suara dan usaha dari dalam Sabah sendiri akan menentukan kejayaan kita.

“Saya jemput semua rakyat Sabah menyertai gerakan ini supaya kita dapat memenangi kerusi dan pastikan kerajaan yang dibentuk benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” ujar beliau sebelum mengakhiri ucapan.

Tinggalkan komen