KOTA KINABALU: Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk menerima hakikat bahawa UMNO-Barisan Nasional (BN) sebenarnya telah hilang sokongan di Sabah.
“Dia masih tidak terima hakikat, dan bagi pelbagai cadangan untuk kemungkinan beberapa parti selain BN dan Pakatan Harapan (PH) di Sabah.
“Dengan mencadangkan nama BN-PH plus plus plus untuk menghadapi Pilihan Raya negeri (PRN) Sabah ke-17, ini sebenarnya lebih wajar untuk beri cadangan nama lain yang tepat, iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama, dengan nama GRS-PH-BN, bukannya BN-PH plus plus plus,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media di sini hari ini.
Menurut Zulkarnain, Kerajaan Negeri Sabah ketika ini dibentuk hasil kerjasama GRS-PH.
“Sudah tentu dari segi pembahagian kerusi, yang lebih utama adalah GRS, PH dan bakinya adalah BN.
“Bila beliau keluarkan kenyataan meletakkan nama BN di hadapan, seolah-oleh merujuk kepada BN-PH plus plus plus sebagai sebuah keinginan peribadi beliau untuk kembali dominan di Sabah, sedangkan hakikat sebenar rakyat Sabah sekarang, sepenuhnya menolak BN di Sabah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau juga menjelaskan bahawa pertembungan diantara GRS dan BN pada PRN17 sukar untuk dielakkan.
“Sudah tentu UMNO-BN akan berhadapan dengan tentangan luar biasa dari GRS.
“Dapatan kajian dilapangan oleh dua badan bebas setakat ini juga secara jelas menunjukkan hampir 72 peratus sokongan berpihak kepada GRS berbanding 28 peratus kepada BN,” tambahnya lagi.
Untuk rekod pada PRN16 Sabah, UMNO-BN bertanding di 31 kerusi DUN Sabah dan hanya menang 14 kerusi dan momentum penolakan rakyat ini sebenarnya dilihat akan berterusan menjelang PRN17 tidak lama lagi.
