RM5 juta untuk Limbahau

PAPAR: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor meluluskan peruntukan berjumlah RM5 juta untuk Gereja St Joseph dan dewan serbaguna Kampung Marahang di Limbahau.

“Saya telah meluluskan permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nautim untuk membina dewan baharu bagi Gereja St Joseph.

“Saya juga meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk menaik taraf infrastruktur di sekitar dewan serbaguna Kampung Marahang,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Pesta Kaamatan Papar di Kampung Marahang, di sini, hari ini.

Selain itu, Hajiji yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata, beliau bersetuju untuk memperuntukkan sebahagian daripada tanah milik Yayasan Sabah kepada penduduk di Kampung Gana dan kawasan sekitarnya.

“Ini adalah kerajaan untuk semua rakyat Sabah.

“Kita bersikap adil kepada rakyat Sabah dan kita tidak mencari pujian untuk diri sendiri, tetapi buktinya jelas dan boleh dilihat oleh semua.

“Kita membawa pembangunan bukan hanya kepada segelintir pihak, tetapi kepada semua tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru kepada pemimpin pembangunan masyarakat (PPM) untuk  turun padang dan memaklumkan kepada rakyat di peringkat akar umbi mengenai usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh kerajaan.

Selain itu, Hajiji juga berkata, Pesta Kaamatan merupakan platform untuk rakyat memupuk hubungan yang lebih erat dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Sabah.

Hadir sama ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali dan ADUN Kawang merangkap Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulamhaidar Khan Bahadar.

One comment

Tinggalkan komen