Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA MARUDU: Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Redonah Bahanda menyeru semua pihak untuk memainkan perana dalam usaha memelihara warisan seni budaya tempatan agar tidak hilang ditelan arus permodenan semasa.
Katanya, semua keunikan seni budaya tempatan Sabah mempunyai nilai yang amat berharga dan perlu untuk terus dipraktikkan supaya generasi akan datang mampu untuk mengenalinya.
“Misalnya Pertandingan Unduk Ngadau, ada kisahnya dan bukan hanya tentang mempamerkan kecantikan semata-mata, tapi ia mempamerkan kecantikan budaya kita, keindahan pakaian tradisional, keluhuran bahasa, keistimewaan makanan tradisi dan pastinya semangat juang yang tidak pernah pudar.
“Bulan Mei signifikan perayaan Pesta Kaamatan, ini antara perayaan warisan yang begitu mendalam maknanya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Sodup Unduk Ngadau Kaamatan peringkat daerah Kota Marudu 2025 di Dewan Komuniti Kota Marudu semalam.
Menurut Redonah, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM13.66 juta tahun ini bagi usaha pemeliharaan warisan budaya dan seni Sabah.
“Ia bagi memastikan warisan seperti pakaian tradisional etnik Sabah bukan sahaja diwarisi oleh generasi kini tetapi juga dilindungi untuk generasi akan datang. Inilah usaha Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Saya berharap minat terhadap warisan budaya kita dapat dikekalkan dan diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain.
“Para peserta pertandingan Unduk Ngadau sendiri perlu mengambil peluang untuk menjadi duta pemeliharaan budaya, bahasa dan tradisi suku kaum Kadazandusun,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Redonah juga menyatakan pendirian beliau dalam usaha memelihara seni warisan dan katanya, kemajuan semasa tidak boleh menjadi penghalang kepada usaha untuk terus mengenang dan membawa identiti tempatan.
“Saya percaya bahawa kemajuan tidak harus mengorbankan identiti. Kita boleh membina jalan, internet dan kemudahan tanpa melupakan tarian tradisi dan bunyi gong.
Kita boleh menuju masa depan, dengan tetap menggenggam sejarah tradisi,” jelasnya lagi.
Tambah Redonah, pertandingan itu juga menyokong usaha Kerajaan Negeri untuk memperkukuh pelancongan budaya melalui promosi warisan tempatan.
“Keunikan busana etnik Kadazan, Dusun boleh menjadi tarikan bukan sahaja di peringkat negeri, malah di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, tema sambutan Pesta Kaamatan tahun ini, ‘Kaamatan Untuk Semua’, membawa makna yang besar bahawa semangat Kaamatan tidak terbatas kepada satu kaum sahaja, tetapi adalah milik bersama seluruh rakyat Sabah.
Jelasnya pertandingan seperti dapat memberi peluang kepada pereka fesyen mempamerkan rekaan masing-masing.
Katanya dapat memberi peluang kepada Make Up Artist (MUA) untuk menjana pendapatan.
Pemenang Sodup Unduk Ngadau daerah Kota Marudu dirangkul oleh Ellysua Mojuning selaku Johan, Adzlin Madzim Edward Kibut untuk Naib johan dan tempat ketiga Florence Janis.
Hadir sama Pegawai Daerah Kota Marudu Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kota Marudu Tahun 2025 Meirin Sugara, Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Marck @ Hassan Libau, Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran) merangkap Ajk Tertinggi Jawatankuasa Induk Sambutan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kota Marudu Tahun 2025 Suffian @ Silvester Majid, Ahli Jawatankuasa Pusat KDCA, Jawatankuasa KDCA Kota Marudu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Sambutan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kota Marudu Tahun 2025 Dr. Christoper Mandut dan Pengerusi Jawatankuasa Unduk Ngadau Daerah Kota Marudu Tahun 2025 Zandi Lasni Elui.
