Oleh: Zacherlyn Ad
PAPAR: Pengumuman kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dilihat sebagai sesuatu yang menjadi punca salah faham antara kerjasama kedua-dua pihak.
“Tidak wajar untuk guna kepala surat Sekretariat Kerajaan Perpaduan kerana itu hanya melibatkan persefahaman antara dua gabungan parti, jadi tindakan Setiausaha Agung UMNO merangkap Ketua Sekretariat, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, telah menimbulkan polemik politik yang tidak membina di Sabah.
“Sampaikan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) beri respons,” kata Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali.
Menurut Armizan, keadaan itu turut menjadi punca Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa memberi penjelasan tentang pengumuman itu bila disoal oleh pemberita semasa sidang media ketika lawatan ke Tawau baru-baru ini.
“Isu itu sudah jadi tumpuan semua media dan rakyat Sabah, tidak wajar kerana sepatutnya mereka perlu lebih teliti sebelum membuat sebarang tindakan.
“Jika kenyataan rasmi dikeluarkan mewakili gabungan parti masing-masing, ya memang bebas untuk mereka buat, tetapi jika kepala surat rasmi Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang digunakan, maka tidak wajar sebab hanya urusan yang melibatkan pendirian kedua-dua gabungan sahaja boleh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Malam Citra Tradisi #KPDNKITA di sini, malam tadi.
Baru-baru ini, Asyraf dan Saifuddin menggunakan kepala surat Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang mempunyai logo parti dalam Kerajaan Perpaduan dalam sebuah kenyataan media dengan mengumumkan kerjasama BN dan PH bagi PRN Sabah.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Papar itu turut mempersoal jika sekretariat itu boleh mengeluarkan kenyataan media secara rasmi tanpa merujuk kepada Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan terlebih dahulu.
“Bolehkah untuk mereka keluarkan kenyataan sedemikian berkaitan pilihan raya Sarawak nanti?
“Kita harap semoga Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fadillah Yusof dapat meneliti dan melihat perkara ini agar tidak berulang lagi nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Armizan juga menegaskan bahawa keputusan yang diambil untuk membentuk kerjasama politik adalah hak setiap parti tetapi tidak wajar untuk diwar-warkan dengan menggunakan identiti atau ‘ruang’ Kerajaan Perpaduan bagi kerjasama yang cuma melibatkan dua belah pihak.
“Saya berpendapat bahawa negeri ini, negeri Sabah ini unik dengan landskap politiknya yang tersendiri, sama juga dengan negeri lain seperti Sarawak, Melaka dan Johor yang akan berdepan PRN tidak lama lagi.
“Dan untuk Sabah, yang sekarang ditakbir oleh kepimpinan Kerajaan Negeri Kerajaan GRS, mungkin orang lain nampak kita seperti sebuah kapal kecil, tapi jika Tuhan mengizinkan, kapal yang kecil inilah yang ada muatannya yang cukup dan insyaAllah akan sampai ke destinasinya.
“Yang penting, jika kita berpaksikan untuk capai kestabilan, keharmonian dan kesejahteraan bersama, kita mesti hormat satu sama lain, antara kita, ini kuncinya,” jelas Armizan lagi.
