LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu berjaya menggagalkan usaha penyeludupan dan merampas 1,428 paket minyak masak bersaiz satu kilogram dalam satu operasi berimpak tinggi di perairan Tanjung Batu, pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, rampasan hasil risikan itu dilakukan sekitar pukul 6.00 pagi apabila bot ronda Maritim mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan hanya 0.2 batu nautika dari selatan Tanjung Batu.
“Sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa, bot itu bertindak melarikan diri ke arah daratan sebelum suspek bertindak nekad terjun ke laut dan meloloskan diri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini hari ini.
Pemeriksaan ke atas bot itu menemui 84 kotak minyak masak paket satu kilogram yang disorokkan dalam beg plastik hitam.
“Kesemua barang rampasan termasuk bot dibawa ke Jeti Pos Maritim
FELDA Sahabat untuk tindakan lanjut.
“Anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk bot tersebut mencecah RM10 ribu.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki terlibat dalam cubaan menyeludup barang kawalan bersubsidi tanpa kebenaran pihak berkuasa,” ujarnya lagi.
