KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan merangka Enakmen Pembangunan Belia Sabah untuk menjadikannya sebagai platform undang-undang dalam usaha mengukuhkan pengurusan organisasi belia.
Selain itu, ia juga berfungsi untuk memperluas pengiktirafan terhadap aktivisme belia dan memastikan ruang yang lebih teratur untuk pembangunan.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata enakmen itu adalah untuk memberi pemimpin belia ruang, masa dan sokongan dalam usaha membentuk kepimpinan dan keyakinan untuk mereka terus menyumbang kepada negeri Sabah.
“Dengan enakmen ini, kami ingin supaya setiap pemimpin belia diberikan masa, ruang, dan sokongan untuk memimpin dengan yakin dan terus menyumbang kepada negeri tanpa diketepikan akibat perubahan dasar,” katanya.
Berucap pada sambutan Hari Belia Nasional peringkat negeri di Kompleks Sukan Kota Kinabalu, di sini hari ini.
Menurut Hajiji, Kementerian Belia dan Sukan Negeri (KKBS) dan Majlis Belia Sabah (MBS) telah diberi tanggungjawab untuk meneliti perkara itu termasuk isu dasar peralihan umur belia.
“KKBS dan MBS akan melakukan kajian menyeluruh mengenai dasar peralihan umur belia kerana isu ini perlu dikaji secara mendalam, mengambil kira struktur sosial, kematangan organisasi, dan realiti di lapangan, terutamanya di Sabah.
“Pembangunan belia di Sabah akan terus menjadi fokus Kerajaan Negeri, termasuk menyediakan kemahiran dan alat yang diperlukan untuk memimpin negeri pada masa depan,” kata Ketua Menteri.
Jelas Hajiji lagi, pencapaian belia di Sabah pada masa kini sangat membanggakan dan perlu terus dikekalkan.
“Sejak pentadbiran GRS-PH, Kerajaan Negeri telah menunjukkan pencapaian yang membanggakan bagi aspek pembangunan belia.
“Kestabilan politik kita sebenarnya telah membuka ruang kepada pembangunan berterusan dan dasar berpaksikan rakyat, termasuk dalam aspek pembangunan belia,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Hajiji juga memberitahu bahawa Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman dalam ucapan dasar kerajaan turut menekankan bahawa pembangunan belia perlu diberi keutamaan, khususnya dalam kerangka negeri termasuk dalam aspek pendidikan, kemahiran dan kepimpinan.
“Oleh itu, Kerajaan Negeri akan sentiasa mengambil kira aspirasi belia, termasuk usaha untuk melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan.
“Ini adalah untuk memastikan bahawa apabila tiba masanya untuk generasi muda mengambil alih tampuk kepimpinan, mereka akan layak dan mampu membawa negeri dan negara ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Tambah Hajiji lagi, Kerajaan Negeri juga telah melancarkan beberapa inisiatif dan program bantuan pendidikan yang telah memberi manfaat kepada pelajar di negeri ini.
Katanya, inisiatif baru seperti Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) dan Sumbangan Kegiatan Sekolah Secara One Off (SUKSES) juga telah diperkenalkan bagi memperluas akses kepada pendidikan tinggi dan menyokong kegiatan sekolah.
“Inisiatif-inisiatif ini adalah antara 13 inisiatif pendidikan yang diberikan kepada pelajar, sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), serta persatuan pelajar Sabah di dalam dan luar negeri, dengan jumlah RM75.5 juta.
“Inisiatif lain yang telah dilaksanakan dan diteruskan tahun ini termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), dan Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI), Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA) dan Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRSSUBFLY).
“Dalam aspek pembangunan kemahiran, Kerajaan Negeri terus memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta program latihan teknikal di negeri ini, serta lebih daripada 179 kursus dalam bidang sains, teknologi, inovasi, dan bahasa telah dijalankan tahun lepas, dengan lebih 35,000 pendaftaran,” katanya.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri juga akan terus berusaha untuk pembinaan dan naik taraf infrastruktur sukan seperti kompleks sukan, arena belia dan gelanggang serbaguna di kawasan luar bandar yang kini dimanfaatkan oleh komuniti setempat.
Pada masa sama, katanya, program berimpak tinggi seperti Felo Sabah Maju Jaya (Felo SMJ) dan Dewan Belia Negeri Sabah yang dilaksanakan bersama Majlis Belia Sabah, serta Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKEBS), menyediakan platform yang sangat baik untuk golongan belia mengasah kemahiran dalam ekosistem kepimpinan dan tadbir urus negeri.
Hajiji turut menzahirkan keyakinan terhadap Majlis Belia Sabah yang disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) sebagai badan utama dan tulang belakang gerakan belia negeri.
“Oleh itu, saya mahu Majlis Belia Sabah terus memimpin golongan belia di seluruh negeri dengan penuh dedikasi dan terus memperkenalkan inisiatif dan program yang terbaik, relevan dan inklusif bagi pembangunan menyeluruh generasi muda negeri ini,” katanya.
Hajiji menggesa golongan belia untuk terus bersama kerajaan dan menyokong semua inisiatif demi manfaat mereka dan kesejahteraan rakyat.
“Marilah kita bersama kerajaan mengekalkan kestabilan politik dan kemajuan ekonomi melalui kerjasama dan sokongan berterusan. Ini adalah penting untuk kelancaran pelaksanaan pembangunan di negeri Sabah,” ujar beliau lagi.
