Oleh: Ridzal Abdullah
TAWAU: Mahkamah Sesyen Khas Rasuah menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda sebanyak RM10,000.00 terhdapa dua penjawat awam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) setelah didapati bersalah menerima rasuah melibatkan permohonan kad pengenalan, enam tahun lalu.
Tertuduh Yuliana Saat dan Azmi Amir Lunji, masing-masing bertugas sebagai Pembantu Pendaftaran Gred KP22 di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Semporna, menerima RM2,000 setiap seorang daripada seorang wanita dikenali sebagai Sufiah Said, untuk meluluskan permohonan kad pengenalan anak kembarnya.
Hakin Jason Anak Juga menjatuhkan hukuman selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan dan kedua-dua tertuduh gagal menyangkal anggapan statutori di bawah Seksyen 50 Akta SPRM 2009.
Mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi, namun diminta untuk membayar denda pada hari keputusan dijatuhkan.
Perbicaraan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), PsK Rekhraj Singh, manakala tertuduh masing-masing diwakili peguambela.
