TUARAN: Kerajaan Negeri sentiasa berusaha memperkukuh komitmen dalam memastikan seluruh rakyat Sabah tidak tercicir daripada arus pembangunan sosial negara.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa kesejahteraan rakyat kekal menjadi agenda utama dalam pentadbiran Kerajaan Negeri, selaras dengan aspirasi utama kerajaan untuk membangunkan Sabah.
“Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM162.42 juta pada tahun ini kepada Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah serta agensi di bawahnya, bagi melaksanakan pelbagai program sosial yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Kerajaan juga menyalurkan sebanyak RM76.29 juta tahun ini bagi membantu golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas, ibu tunggal, kanak-kanak serta anak yatim melalui pelbagai skim bantuan yang disasarkan secara khusus.
“Selain itu, sejumlah RM956,000 turut diperuntukkan untuk program-program kesejahteraan rakyat yang meliputi aspek kekeluargaan, kepenggunaan, pembangunan wanita dan gaya hidup sihat”, katanya.
Hajiji berkata demikian ketika merasmikan Program Kembara Kasih Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) 2025 dan Perasmian Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) Mobile Sabah di Astaka Padang Tuaran, hari ini.
Menurut Hajiji, sebanyak RM550,000 turut disalurkan kepada Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Sabah dalam usaha membendung penyalahgunaan dadah khususnya dalam kalangan pelajar sekolah.
Hajiji turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya KPWKM yang telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan dan perkhidmatan kepada rakyat Sabah.
“Terima kasih Kerajaan Persekutuan, khususnya KPWKM yang banyak membantu negeri ini, termasuk RM300,000 Bantuan Bencana Banjir Sabah 2025 oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN), RM2.1 juta diperuntukkan bagi keperluan 384 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) semasa musibah banjir di seluruh negeri,” katanya lagi.
Tambah Hajiji lagi, sebanyak RM330 juta Program Bantuan Kewangan Persekutuan Tahun 2025 untuk Sabah, di mana RM315 juta diagihkan kepada 45,572 penerima bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Usaha ini mencerminkan bahawa Kerajaan Persekutuan serius terhadap kesejahteraan rakyat Sabah dan sentiasa berusaha untuk mewujudkan kesediaan untuk terus memperkukuh jaringan sosial demi rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji memberitahu bahawa pelancaran PSSS Bergerak, sebagai sebuah inisiatif respons tepat terhadap krisis kesihatan mental yang semakin membimbangkan di seluruh negara, terutama pasca pandemik COVID-19.
“Saya merujuk laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mendedahkan lebih 5 juta rakyat negara ini mengalami isu seperti kemurungan, kebimbangan dan tekanan, termasuk peningkatan kes bunuh diri.
“PSSS mobile ini diharap mampu menjangkau masyarakat luar bandar dan memberi sokongan psikososial yang amat diperlukan, termasuk untuk mereka yang terkesan dengan penceraian, penderaan, pengangguran dan beban kewangan,” jelasnya.
Selain itu, Hajiji turut menyeru seluruh rakyat, khususnya mereka yang berada dalam laluan Kembara Kasih KPWKM 2025, agar hadir dan memanfaatkan sepenuhnya pelbagai perkhidmatan yang disediakan sepanjang program itu.
Program Kembara Kasih KPWKM 2025 melibatkan dua zon utama di Sabah iaitu Zon 1 (Tuaran, Papar dan Penampang) dan Zon 2 (Lahad Datu, Kunak dan Tawau).
Program itu menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan yang turun padang menyampaikan perkhidmatan kebajikan secara menyeluruh kepada rakyat.
Hajiji turut berharap agar program seumpama itu dapat diteruskan dan diperluas ke kawasan lain di masa akan datang sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesejahteraan rakyat.
