KOTA KINABALU: Pengerusi Sabah, Yayasan Pengguna Kebangsaan Malaysia, David Chan menggesa kerajaan untuk mengawal caj klinik swasta di seluruh negara bagi mengelakkan aktiviti mengaut keuntungan berlebihan.
“Ini penting kerana mekanisme kawalan harga terhadap caj rawatan klinik swasta adalah memberi impak kepada pengguna dan ini juga bertujuan untuk memastikan rawatan kesihatan yang disediakan mampu milik untuk semua rakyat Malaysia.
“Kami menyokong hasrat kerajaan untuk melindungi kebajikan pengguna, khasnya golongan berpendapatan rendah kerana kami percaya bahawa sebarang dasar yang melibatkan struktur bayaran perubatan harus mengambil kira dan menghormati martabat serta intergriti profesional pengamal perubatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurut David lagi, doktor di klinik swasta memainkan peranan penting dalam sistem kesihatan negara kerana mereka adalah barisan hadapan yang perlu untuk mengenal pasti penyakit dan memberi rawatan.
“Seorang doktor yang berkualiti bukan cuma merawatt gejala tetapi juga mampu memberi preskripsi ubat paling berkesan untuk mempercepat proses penyembuhan pesakit.
“Ini adalah kebolehan yang terhasil daripada latihan kritikal dan pengalaman profesional,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, David juga menjelaskan bahawa sebarang perlaksanaan kawalan harga perlu mengambil kira kos ubat-ubatan dan nilai khidmat konsultasi serta kepakaran diagnosis yang diberikan oleh doktor.
“Jika hanya aspek kos yang diberi penekanan tanpa mempertimbangkan khidmat profesional, ia boleh menjatuhkan martabat profesion perubatan dan mengurangkan motivasi untuk mengekalkan kualiti perkhidmatan yang tinggi,” katanya.
Selain itu, David juga menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengadakan perbincangan menyeluruh bersama semua pihak berkepentingan.
“Ini termasuk doktor, kumpulan pengguna, dan badan pembela pesakit, sebelum apa-apa mekanisme kawalan harga dilaksanakan.
“Pendekatan yang seimbang diperlukan bagi memastikan pesakit dilindungi daripada caj melampau, sambil mengekalkan profesionalisme dan mutu perkhidmatan klinik swasta,” jelasnya lagi.
David juga menzahirkan hasrat untuk memberi kerjasama dan menyumbang dalam perbincangan konstruktif demi memastikan sistem kesihatan negara kekal berkualiti dan mampu diakses oleh semua.
