TAWAU: UDA Holdings Berhad (UDA), peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset negara, terus komited memperkasa lebih 5,000 komuniti luar bandar di Sabah menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares – Project RE.
Sumbangan ini disalurkan melalui Program Satelit CSR KUSKOP sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Sabah, anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersama Kerajaan Negeri Sabah dan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Johari Shukri Jamil, berkata inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan syarikat dalam menyantuni komuniti setempat melalui program kemasyarakatan yang berimpak tinggi.
“Langkah ini diharap dapat menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan anak muda dan penduduk setempat, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih positif. Ia juga selari dengan nilai jenama UDA iaitu ‘L.I.F.E.’ – Legacy, Integrated, Finesse dan Enrich,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Antara inisiatif utama yang dilaksanakan di bawah UDA Cares – Project RE termasuk Membaik pulih gelanggang futsal dan pemasangan empat unit lampu solar, membaik pulih Perpustakaan Desa, pemasangan dua unit lampu solar di pos kawalan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan pemasangan empat unit lampu solar di Jeti Kampung Mentadak Baru, Pulau Sebatik.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, merakamkan penghargaan atas komitmen UDA dalam memperkasa komuniti luar bandar. Beliau turut menggesa agensi dan sektor korporat lain agar lebih proaktif dalam menyokong pembangunan infrastruktur demi kesejahteraan masyarakat.
“Usaha seperti ini sangat penting bagi menjayakan agenda pembangunan negara melalui aspirasi Malaysia MADANI, terutamanya dalam aspek kesejahteraan rakyat,” katanya.
Program Satelit CSR KUSKOP yang bertemakan ‘Menoktahkan Kemiskinan Melalui Keusahawanan’, turut menampilkan aktiviti seperti Program Halal Success KUSKOP dan Program Bicara Ilmu & Jom @ Coop.
Untuk maklumat lanjut mengenai program dan inisiatif UDA, layari http://www.uda.com.my atau ikuti media sosial rasmi UDA di Instagram (@uda_official) dan Facebook (UDA Holdings Berhad).
