KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick memberitahu bahawa slogan “Sabah for Sabahan” tidak mempunyai sebarang masalah dan boleh terus digunakan oleh rakyat Sabah.
“Saya tidak melihat sebarang masalah dengan slogan Sabah for Sabahan, Sabah First, Sabah Rumah Kita atau apa-apa tema lain yang digunakan oleh rakyat Sabah.
“Bagi saya, ianya satu bentuk semangat patriotik. Selagi ianya bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan rakyat Sabah serta memupuk kerjasama dan perpaduan besar rakyat Malaysia, maka gunalah tema ini atau apa-apa tema lain yang bersesuaian,” katanya.
Ewon menyatakan demikian selepas diminta mengulas mengenai isu slogan Sabah for Sabahan selepas merasmikan majlis pengambilalihan Klinik Sahabat oleh Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) daripada Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (KOOP SAHABAT), di sini, hari ini.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi turut menjelaskan bahawa tiada ada halangan untuk parti-parti Sabah memilih acuan tersendiri termasuk membina persahabatan dan kerjasama dengan parti-parti lain termasuk melalui gabungan nasional.
“Sebagai Presiden parti dari Sabah, saya sangat memahami sentimen dan aspirasi rakyat Sabah, sebab itu juga saya menegaskan aspirasi tempatan harus menjadi asas kepada perundingan gabungan besar politik di Sabah.
“Saya juga tidak melihat sebarang isu berkenaan dengan pilihan acuan politik parti-parti Sabah termasuk membina kerjasama dengan parti-parti lain di peringkat nasional atau dengan parti-parti luar negara yang menjunjung amalan demokrasi,” katanya.
Tambah Ewon lagi, perkara yang lebih utama dan penting untuk dilakukan adalah mewujudkan kesepakatan dan kerjasama yang berkesan dan mampu memberi impak positif dalam usaha untuk menyelesaikan masalah rakyat di seluruh negeri Sabah.
“Saya lebih cenderung untuk melihat keberkesanan kerjasama parti-parti politik kita dalam mencari penyelesaian kepada masalah rakyat.
“Semangat dan laungan slogan kita mesti berupaya untuk mengisi penyelesaian masalah asas rakyat kita seperti jalan raya, liputan internet dan sebagainya.
“Sekuat manapun slogan itu, kalau masalah asas rakyat masih belum dapat diselesaikan selepas berpuluh tahun, maka ianya kekal slogan,” jelasnya lagi.
Kata Ewon, sebagai peneraju parti dan kawasan yang diwakili, beliau ingin lebih fokus kepada usaha membina kekuatan tambahan dengan kerjasama antara parti, untuk menyelesaikan masalah rakyat.
“Saya ingin membina kekuatan tambahan dengan bekerjasama parti-parti lain termasuk gerakan koperasi bagi menyelesaikan masalah rakyat kerana saya tahu peruntukan Wakil Rakyat juga terhad,” ujarnya.
