Oleh: Ridzal Abdullah
LAHAD DATU: Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menegaskan pendirian parti itu untuk terus bersama dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“PBS akan selalu berdiri di belakang GRS kerana semenangnya dan sewajarnya untuk PBS adalah bersama GRS, dan kami sokong sepenuhnya seperti mana yang dikatakan oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, kita sedia untuk bertanding solo.
“Kalau di sana tidak mahu kerjasama dan haluan bersama tidak terjadi, maka kita sedia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Menurut Joachim, walaupun perjuangan utama adalah membawa aspirasi rakyat Sabah iaitu fokus kepada pimpinan parti tempatan Sabah, usaha untuk bekerjasama dengan parti lain tidak ditolak.
“Andai kata perlu dan sekiranya perlu untuk tujuan pembangunan dan kepentingan rakyat Sabah, kita akur dan kita tidak tolak untuk adanya kemungkinan itu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Joachim juga menjelaskan bahawa beliau bersifat terbuka untuk idea kerjasama bersama Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) kerana keutamaan terpenting adalah untuk terus komited pada tugas satu sama lain.
“Saya masih bersama GRS tapi saya terbuka untuk kdea bekerjasama dengan UPKO dan PBRS.
“Jika ini adalah untuk kesatuan serta pembangunan Sabah, ya, kita akan terbuka dan memberi ruang kepada jalinan kerjasama untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) ini,” jelasnya lagi.
