KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyambut baik usaha Kumpulan Sawit Kinabalu memperkenal Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) 2025-2029.
“Ini adalah satu inisiatif baik yang mampu memperkukuh budaya integriti dan tadbir urus yang baik serta cekap, berwibawa, sekaligus bebas rasuah, dalam semua peringkat organisasi.
“Sudah pasti, saya amat menggalakkan semua jabatan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk mencontohi pendekatan seperti ini dalam memperkukuh nilai integriti dan meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan,” katanya.
Hajiji berkata demikian selepas menerima OACP Kumpulan Sawit Kinabalu yang diserahkan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Victor Ationg di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Hajiji, yang juga merupakan Pengerusi Sawit Kinabalu, berkata pelaksanaan OACP bukan sekadar untuk memenuhi kehendak dasar, tetapi ia harus menjadi norma dalam budaya kerja bagi GLC dan agensi kerajaan.
