KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menegaskan bahawa aspirasi rakyat dan harapan rakyat untuk Sabah masa kini adalah penyelesaian kepada masalah lampau dan usaha pembangunan untuk menambahbaik segala kekurangan.
“Kerajaan Negeri Sabah hari ini menunjukkan kadar penyelesaian yang lebih tinggi berbanding era lalu, kerana pusat kuasa dan keikhlasan tadbir urus kini kembali kepada rakyat Sabah melalui Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Jika ada pihak yang tidak puas hati, kritiklah secara berfakta, bukan dengan naratif sensasi yang membangkitkan keresahan rakyat semata-mata kerana rakyat bukan mahu ‘gula-gula’ retorik lama yang tidak berpenghujung, rakyat kita mahu penyelesaikan kepada masalah yang mereka hadapi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurut Nizam yang juga merupakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri itu, kenyataan media yang telah dibuat oleh Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Suhaimi Nasir, yang mengangkat isu kemudahan asas seperti air, elektrik dan jalan raya di negeri Sabah seolah-olah memberikan pengakuan tentang kegagalan pentadbiran lampau.
“Sebagai Ahli Parlimen, sudah pasti hak beliau untuk menyuarakan suara rakyat, tetapi sebagai bekas ahli daripada Kerajaan Negeri terdahulu, adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk bersikap jujur dalam menilai dan adil dalam memberikan sebarang komen atau mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Apabila beliau menyebut kutipan hasil balak RM5.3 bilion antara tahun 1999 hingga 2023, dan mempersoalkan ke mana hilangnya kekayaan Sabah, ini secara tidak langsung, memberi satu pengakuan bahawa puluhan tahun pemerintahan terdahulu yang ditunjangi UMNO dan Barisan Nasional (BN), gagal menterjemahkan hasil itu kepada pembangunan asas untuk rakyat Sabah,” katanya.
Tambah Nizam lagi, Kerajaan Negeri hari ini hanya menguruskan hasil balak bagi tempoh 2020 hingga 2023, dengan purata kutipan sekitar RM213 juta setahun, berjumlah lebih kurang RM639 juta.
“Jumlah ini jika dibandingkan dengan keperluan menyelesaikan infrastruktur asas seluruh negeri, ibarat cuba membeli kenderaan Toyota Super King dengan bajet Perodua Kancil.
“Mustahil dapat memenuhi jurang pembangunan yang telah lama diwarisi dan untuk itu, beliau (Suhaimi) juga perlu menjawab persoalan berkenaan dana sebanyak RM7.5 bilion yang pernah diperuntukkan antara 2006 hingga 2015 oleh Kerajaan Persekutuan (yang juga dipimpin oleh UMNO) bagi menyelesaikan isu-isu kemudahan asas. Ke mana perginya dana tersebut?,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, Nizam turut menegaskan bahawa sejak September 2020, Suhaimi dan partinya turut menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri yang mengambil alih tampuk pentadbiran daripada Warisan.
“Bahkan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, tapi apa, apa yang diselesaikan sejak jawatan itu dipegang oleh beliau?
“Boleh nilai dan tengok, tidak banyak penyelesaian konkrit yang dapat dibuktikan sepanjang tempoh tersebut, berbeza dengan sekarang, kerana pentadbiran sekarang, lebih tersusun dan isu-isu lama kita sedang tangani dengan menggunakan pendekatan secara menyeluruh,” katanya.
Nizam memberitahu bahawa usaha berterusan Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran GRS sentiasa fokus dalam usaha menyelesaikan masalah yang diwarisi sejak kerajaan lampau dan semua perancangan disusun secara satu per satu.
“Isu bekalan air, dijangka selesai menjelang tahun 2030 apabila projek-projek utama siap sepenuhnya termasuk Empangan Hidroelektrik Ulu Padas yang mampu menyalurkan 6,000 juta liter air sehari, cukup untuk keperluan rakyat selama 100 tahun, di samping menyumbang 15% kepada tenaga grid Sabah.
“Isu tenaga elektrik, diselesaikan menerusi penambahan sumber tenaga termasuk solar, bateri simpanan, serta sambungan tenaga dari Sarawak ke grid Sabah.
“Isu jalan raya pula, jalan raya Persekutuan seperti Pan Borneo dijangka menyelesaikan sebahagian besar masalah, manakala kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM500 juta untuk menaik taraf jalan raya negeri khususnya di kawasan utara Sabah,” katanya.
Nizam meminta Suhami untuk membuka minda dan faham tentang pemisahan bidang kuasa antara Persekutuan dan Negeri.
“Penting untuk difahami, banyak jalan utama adalah jalan Persekutuan dan tanggungjawab penyelenggaraan berada di bawah Kerajaan Persekutuan, bukan negeri.
“Sebagai Ahli Parlimen, beliau tentu lebih arif akan pemisahan bidang kuasa antara Persekutuan dan negeri, tidak wajar segala kesalahan ditujukan kepada kerajaan negeri semata-mata.
“saya sarankan, ada baiknya jika beliau suarakan itu dan tujukan kepada ketuanya sendiri, Presiden UMNO kerana sekarang dia adalah Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), dan bukankah kementerian itu antara yang mempunyai tanggungjawab langsung terhadap infrastruktur luar bandar?,” ujar Nizam lagi.
