LAHAD DATU: Ahli Majlis Daerah (AMD) diminta untuk mengamalkan sikap pergi lebih jauh dalam mengekspresikan kesanggupan melakukan lebih besar daripada yang dijangkakan jika mahu melihat kejayaan dan kecemerlangan dalam sistem penyampaian kerajaan tempatan.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, sikap itu memberi gambaran berbeza antara sekadar melaksanakan tugas dan benar-benar memberi impak kepada rakyat.
“Going extra mile bermaksud kita sanggup memberi lebih jauh daripada yang diminta, berusaha lebih daripada yang disyaratkan kerana ini adalah kunci kepada kejayaan sebenar.
“Kita tidak boleh hanya bergerak atas landasan biasa, tetapi perlu berani melangkah lebih jauh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan dan Angkat Sumpah Ahli Majlis Daerah Lahad Datu bagi sesi 2025 hingga 2027, di sini, hari ini.
Menurut Joachim, dalam konteks Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pendekatan itu bermaksud AMD menjalankan tanggungjawab asas dan turun padang untuk mendengar suara rakyat, menyelesaikan isu setempat dengan proaktif serta sentiasa mencari ruang penambahbaikan dalam penyampaian perkhidmatan.
“Sesungguhnya, usaha luar biasa itu perlu disertai dengan nilai-nilai integriti, amanah, kerjasama berpasukan dan kepercayaan.
“Saya percaya dengan adanya ‘effort and commitment’, ‘teamwork and trustworthy’, Majlis Daerah akan lebih cemerlang dan dihormati rakyat,” tegasnya.
Tambah Joachim lagi, kementeriannya boleh disifatkan sebagai ‘ayah’ yang membimbing PBT selaku ‘anak’ untuk terus berada dalam landasan tepat dalam menjalankan fungsi masing-masing, dan PBT pula bertanggungjawab menunjukkan prestasi terbaik dan menjaga nama baik organisasi.
Joachim turut menyeru semua AMD yang baru dilantik supaya sentiasa berada dalam satu pasukan yang bergerak seiring ke arah matlamat yang sama.
“Jangan ada yang berhenti mendayung, apatah lagi mendayung berlawanan arah. Jika semua mendayung seiring, kita akan sampai ke destinasi dengan lebih cepat dan lancar,” tambahnya.
“Kita mesti berani melangkah ke hadapan. Kesilapan bukan penghalang, tetapi pedoman. Tugas kita ialah memastikan perkhidmatan yang diterima rakyat sentiasa yang terbaik,” ujarnya.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Datuk Dr. Jamili Nais, Pengerusi Majlis Daerah merangkap Pegawai Daerah Firuz Irzualdeen Benetty Mohd Dzul dan Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Jackley Gielbert @ Lontou.
